Buletin

PELUMBA WANITA MALAYSIA, LOKE YIN YI CIPTA SEJARAH DI FUJI SPEEDWAY

Pelumba negara, Loke Yin Yi, mencatat sejarah apabila muncul pelumba wanita pertama Malaysia berjaya menaiki podium dalam Kejuaraan Kyojo VITA 2026 selepas menamatkan perlumbaan Pusingan 2 di tempat ketiga di Fuji Speedway.

Mewakili pasukan KEGANI Racing Academy Japan / SKILL DRVN VITA, Yin Yi mempamerkan aksi bertenaga di sebalik keadaan cuaca yang tidak menentu dan litar yang dipenuhi air, ketika mengendalikan jentera prototaip West VITA-01.

Beliau memulakan perlumbaan dari petak ketiga, namun hujan lebat yang melanda memaksa perlumbaan dikawal oleh Kereta Keselamatan bagi tiga pusingan pertama daripada keseluruhan 10 pusingan.

Sebaik perlumbaan disambung semula pada pusingan keempat, satu insiden di Selekoh 1 menyebabkan Yin Yi kehilangan kedudukan dan jatuh ke tempat keempat.

Bagaimanapun, pelumba muda itu tidak mengalah apabila kembali memberi tekanan kepada pencabarnya walaupun hujan semakin lebat.

Pada pusingan kelima, beliau berjaya memintas lawan untuk merampas semula tempat ketiga sebelum mempertahankan kedudukan tersebut sehingga bendera penamat dikibarkan.

Kejayaan itu bukan sahaja menghadiahkan podium antarabangsa pertama buat Yin Yi, malah menjadi bukti keberkesanan program pembangunan bakat yang dijalankan oleh Kegani Racing Academy (KRA) dan SKILLDRVN dalam melahirkan pelumba wanita berdaya saing di peringkat antarabangsa.

Perjalanan Yin Yi daripada perlumbaan One Make Race (OMR) SKILLDRVN di Malaysia sehingga berjaya berdiri di podium Fuji Speedway turut memperlihatkan potensi besar pelumba wanita tempatan apabila diberikan peluang dan latihan yang sistematik.

Menurut Yin Yi, keadaan litar yang basah menjadikan perlumbaan tersebut antara cabaran terbesar pernah dihadapinya.

“Saya kehilangan kedudukan selepas insiden ketika perlumbaan disambung semula, tetapi berjaya kembali fokus dan mendapatkan semula rentak pemanduan. Dalam perlumbaan yang singkat seperti ini, setiap kesilapan boleh memberi kesan besar.

“Podium pertama di Jepun ini amat bermakna buat saya dan menjadi pembakar semangat untuk terus memburu kejayaan yang lebih besar selepas ini,” katanya.

Kejayaan tersebut turut dilihat mampu menyuntik inspirasi kepada lebih ramai wanita Malaysia untuk menceburi sukan permotoran, sekali gus meningkatkan kehadiran wakil negara di pentas antarabangsa.

Google ads
Back to top button