Motosikal

KAPCAI 150CC KLAC AUTO DIJANGKA SIAP TAHUN DEPAN – DENGAN ABS DUAL-CHANNEL, TFT

Baru-baru ini lebih 20 pengamal media tempatan telah dibawa ke Guangzhou, China oleh MForce Bike Holdings bagi menghadiri lawatan ke kilang Haojin yang merupakan pengeluar jenama LETBE. 

Selain meninjau tawaran baharu yang barangkali akan turut dipasarkan di Malaysia seperti Mecha 150/200, Nomad 350 dan Flygon, kami turut diberikan peluang menyaksikan model tanah liat kapcai 150cc dengan klac auto. 

Ini kerana MForce menjalinkan kerjasama dengan LETBE bagi pembangunan kapcai 150cc dengan klac auto pertama Malaysia itu. 

Ketika lawatan, pihak LETBE giat mendapatkan pendapat dari pengamal media akan penambahbaikan yang boleh dilakukan pada model berkenaan antaranya dari sudut reka bentuk dan ciri yang bakal ditawarkan. 

Meskipun masih di peringkat awal namun kapcai dengan klac auto itu dijangka siap tahun depan. Antara ciri ditawarkan termasuk ABS dual-channel, skrin TFT serta tangki bahan api berkapasiti sekitar 7-liter. 

Namun begitu, motosikal berkenaan tidak akan disertakan dengan fungsi traction control. Dalam pada itu, pihak MForce juga memaklumkan bahawa kapcai dengan auto klac itu akan dipasarkan di Malaysia dibawah jenama LETBE. 

Kami akan terus bawakan perkembangan mengenai motosikal auto klac berkenaan dari semasa ke semasa. 

Google ads
Back to top button