REMAJA 13 TAHUN JADI HERO KAWAL BAS SELEPAS PEMANDU PENGSAN
Seorang pelajar berusia 13 tahun dari Massachusetts berjaya menyelamatkan nyawa puluhan rakan sekelasnya apabila bertindak pantas mengawal bas sekolah dinaiki mereka daripada terbabas ketika pemandunya tiba -tiba tidak sedarkan diri.
Dalam kejadian Rabu lalu, pelajar gred tujuh, Dillon Reeves dalam perjalanan pulang dari Sekolah Menengah Carter di Warren, bersama 66 pelajar lain apabila pemandu bas itu tiba-tiba merasa pening dan pengsan.
Menurut Daily Mail, rakaman kamera pengawasan menunjukkan pemandu tersebut memberitahu di radionya bahawa dia berasa pening dan mahu menghentikan kenderaan itu namun rebah di atas stereng sebelum sempat berbuat demikian.
Selama beberapa saat bas itu bergerak sendiri dengan perlahan di atas jalan sehingga Reeves meluru ke hadapan dan segera mengawal stereng serta menekan pedal brek untuk menghentikan bas itu di kawasan tepi jalan di Masonic Boulevard.
Walaupun masih terkejut, Reeves dilihat terus meminta rakan-rakannya di dalam di dalam bas itu untuk menghubungi talian kecemasan 911.
Tiada yang cedera dalam insiden itu tetapi dalam rakaman berkenaan, pelajar boleh didengari menjerit ketakutan ketika Reeves menekan brek.
Pemandu bas tersebut dilaporkan dibawa ke hospital berhampiran dan kini masih menerima rawatan rapi.
Pegawai Sekolah Warren mengadakan sidang akhbar kelmarin memuji tindakan berani Reeves malah, remaja tersebut turut menerima penghargaan daripada penduduk setempat dan jabatan polis.
Ibu bapa Reeves mengakui merasa bangga dengan tindakan pantas anak sulung mereka yang diketahui sangat prihatin terhadap keadaan di sekelilingnya. – Agensi