BAS TERJUNAM KE DALAM GAUNG SEWAKTU PEMANDU PANASKAN ENJIN
Sebuah bas merah terjunam ke dalam gaung mengakibatkan seorang maut, manakala puluhan penumpang lain cedera.
Kejadian tersebut berlaku di Indonesia, di mana video kemalangan sebuah bas yang meluncur ke arah sebuah gaung di Guci, Jawa Tengah, Indonesia tular di media sosial, lapor laman berita Liputan 6 semalam.
Bas yang dinaiki sekumpulan penduduk dari Tangerang Selatan, Banten itu hilang kawalan dan terbabas sebelum jatuh ke dalam gaung.
Berdasarkan maklumat yang dikumpul, kejadian itu bermula apabila pemandu bas memanaskan enjin di tempat letak kenderaan.
Pemandu itu kemudian meninggalkan bas dalam keadaan enjin dihidupkan. Bagaimanapun, bas itu tiba-tiba bergerak dan terjunam ke dalam gaung.
Berdasarkan data terkini, seorang mangsa masih mengalami kecederaan serius dan 35 yang lain hanya cedera ringan.
Mayat mangsa yang meninggal dunia akan dibawa ke kawasan pengebumian di Tangerang Selatan. – Agensi