Motosikal

PEMANDU TOYOTA VIOS LAWAN ARUS DI LORONG MOTOSIKAL DIBURU POLIS

Polis kini sedang giat mengesan pemandu kereta Toyota Vios yang memandu secara melawan arus di laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan berhampiran Angkasapuri, Rabu lalu.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur Asisten Komisioner Zulkefly Yahya memberi, dalam kejadian kira-kira jam 4 petang itu, seorang penunggang motosikal lelaki berusia 29 tahun terbabas dan melanggar tembok kiri di lorong berkenaan kerana terpaksa mengelak kereta terbabit.

“Berdasarkan rakaman video yang berjaya dirakam oleh penunggang motosikal tersebut sebelum kejadian, Toyota Vios jelas melawan arus di laluan motosikal yang secara tiba-tiba keluar dari terowong.

“Kejadian itu menyebabkan mangsa hilang kawalan lalu terlanggar tembok di kiri bahu jalan. Manakala kereta tersebut meneruskan perjalanan dengan melawan arus,” katanya.

Kemalangan itu menyebabkan mangsa yang bekerja sebagai pegawai bank mengalami kecederaan di lutut kiri.

Semakan mendapati nombor pendaftaran kereta terbabit beralamat di Kuching, Sarawak.

Justeru, polis meminta pemandu atau pemilik kereta itu datang menyerah diri di Balai Polis Trafik JSPT Kuala Lumpur. Sesiapa yang mempunyai maklumat boleh menghubungi Sarjan Shamsul Kamal atau Asisten Superintendan Khairul Naim di talian 03-20719999.

Terdahulu, video kejadian itu tular di media sosial Facebook dan topik hangat dalam kalamngan warganet.

Ramai yang memberikan komen tidak berpuas hati kerana kejadian pemandu kereta memasuki laluan penunggang motosikal semakin menjadi-jadi dan membahayakan nyawa orang lain. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button