Motosikal

PROJEK KUSTOM BMW R 18 AMBIL MASA 450 JAM. GABUNG REKAAN RETRO, MODEN

BMW Motorrad mempertontonkan motosikal khas terbaharunya yang dikustom berdasarkan model R 18.

Bernhard Naumann yang dikenali sebagai Blechmann dalam scene kustom bertanggungjawab mengubah jentera R 18 menjadi lebih sporty dan garang.

Jentera ini memiliki’wajah’ yang unik dan lampu hadapan dibikin khusus berbentuk seperti buah pinggang.

Gril digunakan pula mengimbas kembali kepada model Coupe 4 Series.

Selain itu, R 18 didatangkan cermin hadapan yang rendah dan tangki petrol dipadankan dengan sempurna pada jentera ini.

Ia juga dilengkapi lampu belakang Kellermann, bar hendal stub, tempat duduk diperbuat daripada kulit berwarna cokelat, aksen krom dan gabungan warna hitam serta putih menyerlahkan lagi jentera ini.

Blechmann dan pasukannya hanya menggunakan mounting asal serta membuat sedikit perubahan pada badan jentera ini.

Sudah pasti, hasil motosikal ini amat mengagumkan dengan menggabungkan rekaan moden dan retro.

Begitupun, ia bukan sesuatu yang mudah kerana Blechmann mengambil masa kira-kira 450 jam untuk menyiapkan projek motosikal terbabit.

Blechmann menjelaskan dia memulakan projek dengan mengeluarkan bahagian-bahagian versi asal sehingga ia menjadi kanvas putih.

“Apabila proses pembinaan, reka bentuk pun mula berkembang. Saya memanggilnya sebagai gaya pantas prototaip Bleechmann,” katanya.

Tidak mengejutkan dia menggunakan pendekatan tersebut kerana Bleechman tidak melakar reka bentuk terlebih dahulu sebelum memulakan kerja-kerja kustom.

BMW Motorrad tidak memperinci lebih lanjut mengenai motosikal berkenaan. Begitupun, jentera standard R 18 mendapat khidmat enjin boxer dua silinder 1.8 liter.

Ia mampu menjana kuasa 90 hp dan tork 158 Nm serta memecut pada kelajuan maksimum sehingga 179 km/j. – carscoops.

Google ads
Back to top button