Buletin

VOLVO XC90 MASUK LORONG MOTOSIKAL SEBAB SILAP SETTING WAZE

Semalam kami ada melaporkan tentang sebuah Volvo XC90 memasuki laluan motosikal di Lebuhraya Persekutuan. Tindakan yang boleh membahayakan keselamatan penunggang motosikal itu pantas menerima kecaman daripada orang ramai. 

Hari ini, terungkai sudah kenapa pemandu SUV berkenaan bertindak sedemikian. Memetik laporan Sinar Harian lelaki berusia 53 tahun itu ‘tersesat’ masuk lorong motosikal kerana terlalu mengikut arahan aplikasi navigasi Waze. 

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, dalam kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, lelaki berkenaan memandu sebuah Volvo XC90 dari arah Petaling Jaya ke Shah Alam.

Berikutan video itu tular di media sosial, polis telah memanggil pemandu terbabit keesokannya untuk direkod keterangan bagi membantu siasatan.

Siasatan awal mendapati pemandu terbabit dalam perjalanan dari syarikatnya di Sungai Besi, Kuala Lumpur menuju ke pusat servis kenderaan.

“Semasa dalam perjalanan, pemandu itu telah menggunakan aplikasi navigasi yang menunjukkan laluan motosikal. Menyedari kesalahannya, pemandu terbabit telah cuba mencari jalan keluar dengan dibantu sekumpulan penunggang motosikal di laluan itu,” kata Ezanee dalam satu kenyataan.

Semakan yang dibuat ke atas telefon bimbit lelaki terbabit mendapati aplikasi navigasi yang digunanya tersalah tetapan kerana menggunakan mode motosikal. Ujian saringan air kencing juga mendapati dia negatif dadah.

“Pemandu terbabit kemudian telah dibebaskan sementara kertas siasatan dirujuk kepada pihak Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan lanjut,” katanya lagi. – Sinar Harian

Google ads
Back to top button