Buletin

PEMERIKSAAN KERETA PERCUMA DI PETRON BERSAMA HONDA MALAYSIA

Petron Malaysia dengan kerjasama Honda Malaysia telah menawarkan pemeriksaan kereta 32-poin percuma buat pelbagai jenama kereta baru-baru ini. Inisiatif ini telah berjaya memeriksa 1,100 kereta di empat stesen minyak Petron yang terletak di Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Pahang dan Terengganu.

“Kami dengan sukacitanya menawarkan perkhidmatan ini kepada para pelanggan kami bersama rakan kongsi, Honda Malaysia, bagi meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pemeriksaan kenderaan sebelum mereka memulakan perjalanan di atas jalan raya. Dengan ini, kami berharap kemalangan jalan raya dapat dikurangkan terutamanya semasa musim perayaan,” kata Lokman Hani, Ketua Keselamatan, Sekuriti, Kesihatan dan Alam Sekitar Petron Malaysia.

Petron telah bekerjasama dengan Honda Malaysia bagi menyediakan perkhidmatan pemeriksaan kereta secara percuma di stesen minyak Petron terpilih di negeri-negeri tersebut.

Memastikan kenderaan berada dalam keadaan baik adalah sangat penting. Pemeriksaan mudah boleh membantu mengelakkan kejadian yang tidak diingini dan menyelamatkan nyawa. Apabila merancang untuk memandu jarak jauh, anda mungkin cenderung untuk mengabaikan kenderaan kereta anda yang mungkin memerlukan beberapa pemeriksaan mudah. Keselamatan merupakan keutamaan kami, dan kami harap dapat meluaskan lagi perkhidmatan ini kepada lebih banyak pengguna terutamanya buat mereka yang akan memandu jarak jauh,” tambah Lokman.

Stesen-stesen yang telah mengambil bahagian dalam kempen empat hari ini, bermula 1 sehingga 4 Ogos 2019, ialah Petron Jalan Tengku Mizan di Kuala Terengganu, Petron Jalan Tengah di Georgetown, Petron Jalan Beserah di Kuantan, dan Petron Jalan Sentul di Kuala Lumpur.

Tahun lepas, Petron telah menjalankan 20 pemeriksaan keselamatan kereta kepada lebih daripada 3,800 kereta di beberapa stesen Petron, yang merupakan sebahagian daripada program Petron yang terlama iaitu keselamatan jalan raya.

Google ads
Back to top button