Artikel Pilihan

PEMILIKAN KERETA: KEKALKAN YANG LAMA ATAU BELI BARU?

Isu keperluan menukar kereta bukannya isu baru. Percaya atau tidak, ia sentiasa berlegar di fikiran setiap pemilik kereta tidak kira tua atau muda, bujang mahupun sudah berkahwin.

Melepaskan sebuah kereta lama merupakan satu langkah besar buat sesetengah individu, apatah lagi jika mereka tergolong dalam kategori sentimental dengan barangan yang dimiliki.

BACA: 6 TIPS PENTING BELI KERETA TERPAKAI

Contohnya, menghargai kenangan ataupun memori dengan sesebuah kereta dimiliki (Contoh: Kereta pertama beli lepas berkahwin, bini bersalin dalam kereta, kereta menang peraduan dan macam-macam lagilah).

Namun, ada setengah individu pula cukup mudah menukar kereta. Pakai setahun jual, beli baharu macam salin baju je.

PAKAI SAHAJA KERETA SEKARANG ATAU BELI BARU?

Balik kepada isu di atas, mana lebih baik? Kekal dengan model kereta sedia ada ataupun beli model terbaru di pasaran?. Secara asas kita letakkan diri kita sebagai individu berpendapatan sederhana dengan kehidupan yang sederhana (kalau taraf jutawan kosmetik isu ni mana penting lagi).

Sesuai dengan kehidupan cukup makan pakai, semestinya kos pembaikian sesebuah kereta kadang-kadang memeranjatkan kita. Contohnya kos untuk menukar tali sawat pemasa Proton Persona pun sudah mencecah RM700-800.

Belum campur kos pembaikian kerosakan lain yang selalu timbul pada kereta-kereta berusia lebih sepuluh tahun.

Jadi mana lebih berbaloi sama ada untuk meneruskan penggunaan kereta lama yang sudah habis bayaran bulanan ataupun mendapatkan kereta baharu yang lebih bebas dari masalah kerosakan akibat dimakan usia?

FIKIR TENTANG KOS

Kebijaksanaan dalam membuat keputusan sebenarnya bergantung kepada satu faktor sahaja iaitu : kos.

Tapi perlu diingat, kos yang dimaksudkan di sini bukannya terhad kepada kos pembelian ataupun bayaran bulanan semata-mata.

Kos lain yang harus diambil kira ialah penyelenggaraan, cukai jalan dan insurans, tahap ekonomi bahan api, ciri keselamatan yang ditawarkan dan keperluan kita terhadap kenderaan itu sendiri.

Meminggirkan salah satu faktor di atas mungkin menyebabkan kita membuat keputusan yang salah.

KOS PEMBAIKIAN ATAU BAYARAN BULANAN?

Jika kos anda membaiki kereta anda setiap bulan melebihi anggaran bayaran bulanan yang perlu dibayar untuk sebuah kereta baharu, inilah masa yang sesuai untuk anda berhenti membuang duit untuk kereta lama.

Lebih bijak jika anda dapatkan sebuah kereta baharu ataupun terpakai yang lebih baik. Lagipun semakin berusia sebuah kereta, kos selenggaraan juga semakin meningkat.

Namun yang demikian, harus diingat, jika diambil kira kos faedah yang ditanggung untuk membeli kereta baharu di Malaysia, pembelian kereta baharu memang menelan kos yang cukup tinggi. Apatah lagi jika anda memanjangkan perjanjian jualbeli ke tahap maksima 9 tahun.

Dalam keadaan ekonomi yang tidak menentu, kos sebegini memang sewajarnya dielakkan. Pengiraan secara cermat mesti dilakukan agar bersesuaian dengan kemampuan diri sendiri. Biasanya ramai rakan taulan yang akan mencadangkan model-model terkini tetapi semua kos adalah tanggungan kita sendiri.

INSURAN DAN CUKAI JALAN 

Jika sudah membuat  keputusan untuk mendapatkan sebuah kereta lain tidak kira terpakai ataupun baharu, kos insuran dan cukai jalan juga harus diambil kira.

Kereta baharu memerlukan perlindungan insuran komprehensif yang lebih mahal. Cukai jalan pula bergantung kepada sesaran enjin kereta. Kereta terpakai ataupun biasanya memerlukan kos insuran yang lebih rendah berdasarkan nilai pasaran semasa.

ADAKAH ANDA SELALU MENYELENGGARA KERETA ANDA SECARA BERKALA?

Sebuah kereta yang diselenggara secara berkala sebenarnya boleh berfungsi sebaik kereta yang baharu keluar dari kilang.

Ia bergantung kepada cara pemanduan anda dan kawasan anda menggunakan kereta tersebut. Peralatan mudah haus mesti diganti pada masa yang ditetapkan begitu juga dengan cecair pelinciran.

BACA: 4 JENIS PENYELENGGARAAN KERETA YANG MUDAH

Pendek kata aspek penyelenggaraan mesti sentiasa diambil berat. Jangan sampai pad brek sudah tinggal tapak besi baru terhegeh-hegeh nak tukar.

TAHAP EKONOMI BAHAN API

Bagi kami ini merupakan satu faktor yang subjektif. Ia banyak bergantung kepada corak pemanduan sebenarnya.

Jika memandu dalam keadaan relaks, anda akan dapati jarak perjalanan anda per liter adalah lebih baik berbanding dengan pemanduan secara agresif.

BACA: 10 TIPS PENJIMATAN BAHANAPI

Satu lagi kalau beli Perodua Bezza tetapi tukar rim asal dengan rim bersaiz 18 inci mana ada ekonomik lagi kan?

ADAKAH ANDA AKAN MENJANA LEBIH WANG DENGAN KERETA BARU?

Jika anda pemandu Uber, Grabcar ataupun teksi ini mungkin benar. Ia kerana mereka memerlukan kenderaan yang berusia kurang dari lima tahun untuk beroperasi.

Untuk profesion lain rasanya tak penting kot? Kecuali jika anda seorang motivator ataupun usahawan MLM berjaya yang ingin menaikkan semangat downline anda agar berusaha lebih keras (untuk mengkayakan anda).

NASIHAT AKHIR

Sebelum membeli kereta baru, adalah amat bijak jika kita bertanyakan kepada diri kita sendiri.

Adakah kita ingin membeli kereta baru kerana ia lebih menjimatkan ataupun kita lebih bimbang dengan imej kita di mata kawan-kawan?

Jika ianya kerana sebab yang pertama, pastikan anda dapatkan sebuah kereta yang menepati kriteria yang anda perlukan serta mempunyai reputasi yang baik, bukannya mendapatkan sebuah kereta yang mampu mengkagumkan mata yang memandang.

Tapi jika anda jenis rajin menyelenggara kereta dan sekali-sekala melakukannya sendiri, anda akan dapati yang mengekalkan kereta sedia ada adalah lebih ekonomik buat anda berbanding membeli sebuah kereta baru.

 

 

 

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button