Buletin

PENCABAR CIVIC TYPE-R DARI HYUNDAI AKAN DILANCARKAN MINGGU DEPAN!


Entah di mana silapnya, kereta-kereta Korea kurang mendapat tempat di negara-negara Asia Tenggara. Strategi jualan dan harga kereta mereka memang antara halangan besar menjadikan kereta-kereta mereka dikenali ramai, padahal, di pasaran Amerika Syarikat dan Eropah, Hyundai//Kia memonopoli jualan kereta penumpang arus perdana.

Bukan sahaja di Malaysia, malah di negara-negara jiran kita pun, pasaran eksklusif adalah untuk jenama Jepun. Salah satu sebabnya ialah reputasi dan nilai jualan balik dan yang paling penting, jenama Jepun mempunyai rangkaian produk yang merangkumi pelbagai genre pembeli.

Hyundai sedar, untuk menempatkan jenama mereka pada reputasi yang bagus, mereka perlu bina kereta yang menarik minat peminat kereta sebenar. Hyundai tiada masalah dalam aspek jualan. sejak 10 tahun lepas Kumpulan Hyundai/Kia mencatat prestasi perniagaan yang bagus. Mereka sentiasa berada dalam 5 senarai teratas dengan purata jualan melebihi 8 juta unit setahun.

Hyundai lebih laris dari Honda dan Nissan, namun mereka sedar ada sesuatu yang kosong berbanding pembuat kereta terkemuka dunia yang lain. Justeru, tahun lepas Hyundai mengumumkan projek i30N untuk bersaing dengan kompak hatchback dan kenyataannya? kereta ini memang bagus. Sama bagusnya dengan CIvic Type R, Renault Megane RS dan Volkswagen GTi.

BACA: i30N 1st EDITION HABIS DALAM 2 HARI!

Model ini akan dilancarkan ke pasaran tempatan pada minggu hadapan. Lebih tepat, 28 November nanti. Pihak media sudahpun menerima jemputan rasmi bagi model yang akan bersaing dengan FK8R dan Megane RS ini.

i30N direka di bawah sayap pembangunan berprestasi tinggi Hyundai baru yang dikenali sebagai N Performance. N Performance lahir dari ilham Albert Biermann. Biermann berpengalaman luas dan merupakan bekas Pengarah BMW bahagian M Division.

Hyundai i30N dibina bedasarkan platform i30 dan dipasangkan dengan enjin 2.0 T-GDi empat selinder. Ia mampu menghasilkan sejumlah 247bhp pada 6000rpm dan 260 paun tork pada 1450-4500rpm.

Tapi nanti dulu. Ini adalah model asas. i30N juga didatangkan dengan pilihan Performance Pack yang menawarkan kuasa sehingga 271 kuasa kuda dengan pecutan 0- 62 batu sejam dalam masa 6.1 saat – menjadikan ia model terpantas pernah dihasilkan Hyundai. Di bawah, kami sertakan pautan pandu uji yang dilakukan oleh pihak media EVO dari UK.

Walaupun agak lewat memperkenalkan kereta berprestasi tinggi, Hyundai i30N hadir dengan pakej yang cukup menarik. Ia dilengkapi fungsi pilihan lima mod pemanduan iaitu Eco, Normal, Sport, Sport N dan N Custom yang dikawal dengan menggunakan dua butang pada roda stereng.

Dan lebih penting lagi, kereta ini didatangkan dengan transmisi manual ENAM kelajuan.

Ya manual, dari Hyundai tuan tuan.

Harganya?
Ini bahagian yang sukar sebab tidak banyak penanda aras yang ada dalam rangkaian model Hyundai untuk pasaran Malaysia, kecuali satu.
Pada 2015, Hyundai Malaysia melancarkan Veloster Turbo, sebuah hatchback 2 pintu dengan tiga varian dalam harga lingkungan RM150,000. Tapi ia bukanlah sebuah model yang dibangunkan untuk prestasi sepenuhnya seperti i30N.
Kami menjangkakan harga i30N ini akan berkisar pada lingkungan RM180K dan di bawah RM200K.
Google ads
Back to top button