Motosikal

CRUTCHLOW TIDAK KECEWA TIDAK DIPILIH. AKUI JENTERA RC213V 2020 LEBIH SUKAR DIKENDALI

Pelumba pasukan LCR Honda, Cal Crutchlow mengakui dia tidak kecewa walaupun tidak dipilih untuk bergandingan dengan juara dunia 6 kali, Marc Marquez.

Jika dilihat dari segi prestasi, Crutchlow menamatkan musim lalu sebagai penunggang kedua terbaik Honda apabila menduduki tempat ke-9. Dia juga menjadi satu-satunya penunggang jentera RC213V yang berjaya berada di podium selain Marquez. 

Sebaik sahaja Jorge Lorenzo mengumumkan persaraannya, Crutchlow dan Johann Zarco dilihat sebagai calon favourite.

Tetapi, Honda sebaliknya memilih adik Marquez, Alex yang juga juara Moto2 untuk mewakili pasukan Repsol Honda bagi musim MotoGP 2020. 

“Setahu saya, Zarco tidak penah ada dalam senarai. Dia ialah pelumba gantian Nakagami dan saya rasa dia melakukan tugas dengan baik. Namun, semuanya berubah selepas Alex memenangi gelaran dunia Moto2 dan seorang pelumba yang cukup bagus. 

“Kemudian, Jorge pula bersara. Jadi, cara paling mudah ialah menggantikannya dengan saya atau Alex. Tetapi, saya rasa Alex lebih layak. Saya kecewa? Tidak, kerana menjadi rakan sepasukan Marc Marquez sangat sukar untuk sesiapa pun,” katanya. 

Dalam perkembangan berkaitan, pelumba kelahiran Britain itu mengakui jentera prototaip RC213V 2020 yang diujinya di litar Valencia lebih sukar berbanding model 2019.

Sebelum ini, Crutchlow dilihat begitu vokal dalam menyatakan jentera RC213V sukar dikendalikan di selekoh. 

Buktinya, pelumba pasukan LCR Honda hanya mampu mencatat tiga kali podium daripada 19 perlumbaan sepanjang tahun 2018. Sedia maklum bahawa hanya Marquez yang mampu memanfaatkan sepenuhnya kelebihan jentera berkenaan. 

“Kami perlu menambah baik beberapa aspek sepanjang musim sejuk ini dan harap semua baik-baik sahaja,” katanya. 

Google ads
Back to top button