Artikel Pilihan

PENCURI LARIKAN TRELER PASUKAN LUMBA SEKALI DENGAN PORSCHE DAN ALAT GANTI – RUGI BESAQ WOO

Rennsport-One, sebuah pasukan lumba yang berpangkalan di Florida menjadi mangsa kecurian besar baru-baru ini. Pencuri berjaya melarikan treler pasukan yang antara lain mengandungi empat buah Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport, alat-alat ganti dan peralatan perlumbaan. kesemuanya dianggarkan bernilai sekitar USD1.5 juta (lebih kurang RM6.5 juta!).

Kepala treler berjaya ditemui tapi ekornya bersekali dengan kargo masih gagal ditemui. Kejadian dikatakan berlaku di tempat simpanan Rennsport-One sekitar jam 3.00 pagi Ahad lepas. Pencuri-pencuri yang jelas sekali bukan amatur telah menanggalkan sistem GPS treler tersebut sebelum melarikannya. Ia dikesan kali terakhir di Redland, Miami sekitar jam 6.02 pagi.

Kepala treler tersebut ditemui ditinggalkan di kawasan perindustrian di Miami pada petang hari Isnin keesokannya. Pihak berkuasa telah memproses kenderaan tersebut untuk mengesan sebarang cap jari. Usaha pihak berkuasa dan penyiasat persedirian yang diupah syarikat tersebut bagaimanapun masih belum membuahkan sebarang hasil untuk menemui muatan berharga tersebut.

Menurut Justine Bellinzoni, pemilik Rennsport-One (RS1), pasukan tersebut menyimpan empat buah Porsche 718 Cayman GT4 RS Clubsport di dalam treler bersekali dengan alat ganti, peralatan keselamatan dan rim gentian. Setiap unit Porsche tersebut dianggarkan bernilai USD350,000 (RM1,512,175). Lebih malang lagi kerana hanya satu unit sahaja diinsurankan.

RS1 menawarkan ganjaran tunai yang agak besar untuk pemberi maklumat yang akan membolehkan mereka mendapat kembali treler dan kargo yang berharga itu.

Berdasarkan gaya kecurian, tidak syak lagi ianya dilakukan oleh sekumpulan professional yang mahir. Jentera-jentera perlumbaan Porsche memang akan memberi keuntungan yang besar jika dijual sebagai alat ganti.

Ramai yang menjangka yang kereta-kereta tersebut akan dihantar keluar negara. Ye lah takkan nak tukar cat dan berlumba dalam perlumbaan yang sama.

Google ads
Back to top button