
999 UNIT PROTON X50 DISERAHKAN DALAM TEMPOH LIMA HARI
PROTON memulakan fasa penghantaran untuk model X50 serba baharu hanya beberapa hari selepas pelancaran rasmi pada 24 Julai lalu.
Dalam masa lima hari bekerja sahaja, sebanyak 999 unit telah berjaya diserahkan kepada pelanggan di seluruh negara, menjadikan ia antara pelancaran paling pantas dalam sejarah jenama tersebut.
Bagi memenuhi permintaan luar biasa ini, PROTON telah mengambil langkah awal dengan menyiapkan stok awal sebanyak 2,000 unit di kilangnya di Tanjong Malim menjelang hujung Julai.

Langkah ini membolehkan pelanggan awal menerima kenderaan mereka dalam masa yang singkat, malah jumlah pengeluaran dijangka terus meningkat bagi mengelakkan tempoh menunggu terlalu lama.
Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton Edar, Zhang Qiang, strategi pelancaran X50 kali ini dirancang rapi dengan pendekatan pemasaran yang lebih agresif.
“Kami menerima sambutan hangat daripada pelanggan, dengan lebih 5,000 tempahan diterima hanya dalam masa 10 hari sebelum harga diumumkan. Kini, angka itu telah meningkat kepada lebih 8,000 unit,” katanya.

Model X50 generasi baharu ini tampil dengan rekaan dalaman dan luaran diperbaharui sepenuhnya, termasuk sistem Bantuan Pemandu Termaju (ADAS) Tahap 2 yang dipertingkatkan, paparan infotainmen sebesar 14.6-inci, serta pengiktirafan suara dalam Bahasa Melayu.
Menggunakan enjin 1.5L i-GT TD tiga silinder turbo baharu dengan transmisi klac berkembar 7-kelajuan (DCT), X50 menghasilkan 181PS dan 290Nm tork, dengan keupayaan pecutan 0-100 km/j dalam 7.6 saat.
Penambahbaikan pada rangkaian kuasa juga memberikan peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 4.7 peratus.

Tiga varian ditawarkan:
- Executive – RM89,800
- Premium – RM101,800
- Flagship – RM113,300
(Harga atas jalan tanpa insurans)
Sebagai tambahan, PROTON turut menawarkan rebat tunai RM4,000 kepada 10,000 pembeli terawal menerusi kempen Tawaran Gempak!
- BACA: BRIDGESTONE TURANZA 6 DILANCARKAN DI MALAYSIA – SESUAI UNTUK SEMUA JENIS KENDERAAN TERMASUK EV
- BACA: JUALAN MERDEKA VOLVO SELEKT KEMBALI – HARGA BERMULA RM160,000, 16 & 17 OGOS INI
- BACA: HONDA ACCORD EURO R – SEBUAH MODEL SEDAN EKSEKUTIF OTAI YANG MASIH LAGI LAJU DAN LAJU
- BACA: MG IM6 – SUV ELEGAN DENGAN 751 KUASA KUDA!







