Artikel Pilihan

PENTING KE PENUTUP PLASTIK DI BAWAH ENJIN? KE HIASAN SEMATA-MATA?

Beberapa minggu yang lepas gempar dalam satu laman sosial sebuah kereta baru yang dilancarkan berkenaan dengan isu penutup enjin. Sudahlah bahagian atas tidak diberikan penutup yang kemas, bahagian bawah pun sama tidak dipasang dengan penutup.

Bagaikan menangguk di air yang keruh, maka peluang ini digunakan sebaiknya oleh penjual komponen kenderaan dengan yang memberikan alasan tentang kepentingan penutup enjin ini. Jika anda semak semula sejarah komponen ini, ia sebenarnya bukanlah benda yang baru

Jenama lain seperti BMW telah lama menggunakan penutup plastik di bahagian bawah cesi atau juga disebut sebagai plastic under carrier atau under body cover ini. Ia bertujuan memastikan aliran udara di bahagian bawah bergerak dengan lebih baik dari segi aerodinamik

Malah kereta penulis sebelum ini turut dipasang dengan penutup plastik yang sama, yang dipasang dari bahagian depan, menutup terus bahagian enjin, dan juga subframe depan. Semasa servis, mekanik akan membuka penutup plastik ini dengan membuka klip atau skru yang dipasang.

Leceh la sikit berbanding dengan kereta yang tidak dipasang dengan penutup plastik ini. Tapi sebenarnya pemasangan penutup plastik di bahagian bawah enjin dan cesi ini sebenarnya ada manfaat tersendiri seperti:

1. Memastikan bahagian enjin sentiasa bersih dengan menghalang habuk, pasir, selut dan apa-apa unsur kekotoran daripada masuk ke bahagian enjin daripada bawah. Sesetengah kereta dipasang dengan penutup ini bagi memastikan sambungan komponen elektrik dan elektronik tidak terjejas

2. Penutup plastik ini juga boleh melindungi komponen mekanika lain yang bergerak seperti serpentine belt (tali sawat yang bersambung dengan enjin bagi menggerakkan pemampat penyaman udara, pam cecair penyejuk dan alternator)

3. Bertindak dengan menghalang bunyi daripada luar untuk memasuki ruang kabin dan mengganggu NVH kenderaan terutama bunyi tayar

4. Penutup plastik ini juga direka agar menghalang “lift” pada kereta berkuasa tinggi dengan memastikan aliran udara di bahagian bawah kereta adalah lebih laju daripada bahagian atas. Secara tidak langsung wujud tekanan udara ke atas kereta menjadikan kereta lebih stabil pada halaju tinggi

5. Sesetengah kereta yang dipasang dengan penutup plastik menunjukkan penggunaan bahan api yang lebih baik disebabkan aliran udara menjadi lebih aerodinamik di bahagian bawah kereta dan mengelakkan turbulance daripada berlaku.

Malah sesetengah kenderaan pacuan 4 roda atau 4×4 menggantikan penutup plastik ini dengan penutup aluminium (skid plate) yang lebih tahan lasak dan sesuai untuk kegunaan offroad. Ia mampu melindungi komponen enjin daripada terkena batu atau ranting kayu ketika pemanduan lasak.

Jadi kenapa sesetengah kereta tidak dipasang atau diberikan penutup plastik ini bagi melindungi bahagian bawah enjin dan cesi? Besar kemungkinan ada 2 sebab utama iaitu samaada rekaan kenderaan itu sendiri tidak memerlukan penutup plastik dan sebab kedua adalah kos

Berdasarkan pemerhatian penulis, kereta lama yang dipasang dengan penutup plastik adalah rendah sedikit berbanding dengan kereta yang baru dibeli (tidak dipasang dengan penutup plastik). Jika cesi adalah agak tinggi daripada permukaan jalan, besar kemungkinan kesan aerodinamik dan pendedahan kepada pasir dan batu adalah sangat minima

Manakala kereta lama milik penulis yang lebih rendah mungkin memerlukan penutup plastik ini kerana kedudukan lantai cesi yang rendah boleh mendedahkannya kepada pasir dan batu. Tapi dari segi penggunaan petrol, penulis akui kereta lama masih menawarkan penggunaan bahan api yang lebih bagus.

Sebab kedua adalah kos komponen dan pemasangan penutup plastik ini adalah tinggi dan kebaikan yang ditawarkan oleh komponen ini adalah minima disebabkan ketinggian kenderaan. Lebih baik bajet yang ada digunakan untuk pemasangan komponen lain seperti bahan kedap bunyi yang lebih bagus.

Malah jika anda tidak memandu dengan berhati-hati, besar kemungkinan penutup plastik ini boleh terbuka di bahagian klip menyebabkkannya koyak, terbuka dan terseret dengan permukaan jalan

Google ads
Back to top button