Motosikal

PENUNGGANG WANITA TIDAK KEDEKUT BERBELANJA UNTUK MOTOSIKAL BERBANDING LELAKI – KAJI SELIDIK

Sama ada kita perasan atau tidak, kaum wanita sebenarnya semakin ramai menunggang motosikal. Di Amerika Syarikat misalnya, jumlah penunggang wanita dikatakan meningkat hampir dua kali ganda berbanding sepuluh tahun lalu.

Itulah antara hasil kaji selidik pemilik motosikal/ATV 2018 yang dijalankan oleh Majlis Industri Motosikal, berpangkalan di California. Mereka juga menyatakan angka penunggang wanita akan terus meningkat.

Berdasarkan kepada kaji selidik yang melibatkan 2,472 responden, satu daripada lima orang pemilik motosikal ialah wanita. Jika dikira secara mudah, ia merangkumi 20 peratus merupakan penumpang wanita yang datang dari semua peringkat umur.

Apa yang lebih menarik adalah penunggang wanita dikatakan tidak kedekut dalam menjaga motosikal masing-masing. Kaji selidik sama menunjukkan bahawa mereka membelanjakan purata AS$574 (RM2,400) untuk menukar tayar, penyelenggaraan, penggantian alat ganti dan sebagainya.

Sedangkan penunggang lelaki berbelanja sekitar AS$497 (RM2,080) sahaja setahun untuk tujuan sama.

Industri aftermarket menunjukkan perkembangan sama di mana penunggang wanita tidak lokek berbelanja untuk membeli aksesori dan pakaian berkaita motosikal.

Majlis Industri Motosikal menjangkakan peratusan penunggang motosikal akan meningkat kepada 25 peratus tidak lama lagi, didorong oleh generasi yang berfikiran lebih terbuka.

“Kita boleh lihat sendiri semakin ramai wanita menunggang motosikal. Data telah mengesahkannya,” kata Pengarah Komunikasinya, Andria Yu.

Google ads
Back to top button