Buletin

ORA GOOD CAT RASMI DILANCARKAN. 2 VARIAN, 400-500KM SEKALI CAJ, JAMINAN BATERI 8 TAHUN, BERMULA RM139,800 SAHAJA!

Selepas teaser dan sesi pandu uji di Gamuda Cove bulan lalu, GWM Malaysia hari ini melancarkan secara rasmi kenderaan elektrik pertamanya ke pasaran Malaysia, ORA Good Cat. 

Harga dan varian untuk ORA Good Cat adalah seperti berikut:

  • ORA Good Cat 400 PRO: RM139,800
  • ORA Good Cat 500 ULTRA:RM169,800

Sambutan yang diterima agak menggalakkan apabile bioh 100 unit telah ditempah pada acara Malaysia Motor Expo 2022.

Tampil dengan rekaan retro moden, ORA Good Cat akan ditawarkan dalam dua pilihan kapasiti bateri lithium-ion phosphat iaitu 47.8kWh bagi varian 400 PRO. Ia membolehkan anda bergerak  sehingga 400km dalam pengiraan NEDC. 

Bagi varian lebih tinggi, 500 ULTRA pula, EV berkenaan didatangkan dengan bateri yang lebih besar iaitu 63.1kWh yang membolehkannya dipandu sejauh 500km untuk satu pengecasan penuh.

Semua varian dilengkapi satu motor elektrik berkuasa 141hp dan tork 210Nm tork yang dipadankan bersama pacuan roda depan. Sebagai langkah keselamatan, kelajuan maksimum Ora Good Cat dihadkan kepada 152km/j sahaja.

Tidak dapat dinafikan bahawa ORA Good Cat hadir dengan rekaan luaran yang cukup menarik. Bahagian hadapan diserlahkan dengan sepasang lampu utama berbentuk bulat. Bahagian bawah bampar hadapan dipasang dengan kemasan hitam berbentuk honeycomb.

Melihat dari arah sisi, EV itu didatangkan dengan cat dua tona dan rim bersaiz 17 atau 18 inci (bergantung kepada varian). Bahagian belakang nampak berbeza apabila lampu brek ketiga disepadukan ke dalam cermin belakang.  

Ruang kabin nampak mewah dengan penggunaan material premium. Warna papan pemuka, bahagian atas stereng, panel pintu dan perehat tangan adalah sepadan dengan warna luaran badan. 

ORA Good Cat dipasang dengan skrin instrumen digital bersaiz 7 inci, pendingin hawa automatik bersama penapis udara PM2.5, skrin infohibur 10.25 inci, empat unit pembesar suara, port USB untuk dashcam dan pengecas tanpa wayar. Tempat duduk yang hadir dengan fungsi urutan pula dibalut dengan kulit sintetik dua tona berwarna putih dan warna badan. 

Dari segi keselamatan, EV itu dilengpasi sensor parkir undur, kawalan jelajah, dua atau enam beg udara (bergantung kepada varian), ESC, hill start assist, brek kecemasan pada kelajuan rendah dan sistem pemantauan tekanan tayar (TPMS). 

Dengan sistem pengecasan binaan dalam berkapasiti 6.6kW jenis Type 2, bateri 47.8kWh memerlukan sehingga 8 jam bagi satu pengecasan penuh. Pengecasan pantas dengan sistem DC 60kW pula membolehkan pengecasan dari 0-80% dibuat dalam masa 46 minit sahaja.

Bagi varian 500 ULTRA yang datang dengan bateri 63.1kWh, masa pengecasan menggunakan pengecas biasa mengambil masa sehingga 10 jam. Jika anda menggunakan stesen pengecasan pantas (DC) ia boleh dicaj dari 0-80% dalam masa 60 minit.

Jentera itu ditawarkan dalam pilihan warna dua tona iaitu hijau-putih, merah-hitam, beige-coklat dan hitam-putih. Warna satu tona yang boleh anda pilih ialah biru mudah, putih dan hitam.  

ORA Good Cat hadir bersama pakej 4 dalam 1 Purr-fect Package yang merangkumi pengecaj boleh alih dan rumah secara percuma, jaminan selama lima tahun (150,000km), jaminan bateri sehingga 8 tahun (180,000km) dan kos buruh percuma untuk servis sebanyak lima kali.

GWM dilihat agresif untuk pasaran Malaysia apabila merancang untuk melancarkan 9 model baharu dalam tempoh tiga tahun yang turut merangkumi trak pikap.

Syarikat pengeluar dari China itu juga merancang untuk memulakan proses pemasangan tempatan model GWM pada tahun depan. Program CKD itu bakal menawarkan sehingga 2,000 peluang pekerjaan.

Pengenalan ORA Good Cat nyata memeriahkan lagi tawaran EV di pasaran Malaysia yang terletak dalam julat harga bawah RM160,000. Segmen itu akan terus kompetitif apabila BYD Atto 3 juga dijangka dilancarkan tidak lama lagi. 

GALERI

Google ads
Back to top button