Buletin

LANGGAR ORANG KAMPUNG, TOYOTA AVANZA DIHUMBAN KE DALAM SUNGAI

Beberapa klip video yang menunjukkan sekumpulan penduduk kampung menolak sebuah Toyota Avanza ke dalam sungai beramai-ramai selepas melanggar dua warga tempatan tular di Indonesia.

Kejadian dilapor berlaku di sebuah perkampungan di Palembang  pada pukul 6.30 pagi semalam yang berpunca daripada pergaduhan di antara penduduk di dua buah kampung. Memetik laporan Suara.com, kenderaan pelbagai guna (MPV) itu sengaja digunakan suspek bagi tujuan bergaduh.

Berdasarkan maklumat polis, MPV itu dipandu suspek bersama dua rakan telah melanggar penduduk ketika berada di lokasi kejadian.

Kejadian itu berlaku susulan satu pergaduhan yang terjadi pada hari sebelumnya di Jalan Ali Gatmir yang melibatkan kira-kira 100 orang.

Akibat dilanggar Avanza tersebut, dua penduduk di lorong Masawa Darat dikejarkan ke hospital bagi mendapatkan rawatan.

Selepas perlanggaran itu, suspek bersama dua rakannya berjaya melarikan diri, tetapi meninggalkan kenderaan mereka tidak jauh dari lokasi kejadian.

MPV itu ditinggalkan dekat dengan Sungai Bedung, sebelum penduduk yang marah bertindak menolaknya ke dalam sungai.

Penduduk sebelum itu bertindak merosakkan MPV itu dengan kayu, batu dan besi sehingga berkecai. MPV itu bagaimanapun berjaya ditarik keluar dari sungai pada pukul 7.25 malam semalam menggunakan khidmat trak tunda. – Utusan TV

Google ads

admin

mekanika.com.my / permotoran gaya baru untuk generasi baru.
Back to top button