Buletin

PERODUA SUMBANG BEKALAN PERUBATAN KEPADA HOSPITAL SUNGAI BULOH

Perodua telah menyumbang bekalan perubatan tambahan bernilai RM80,000 kepada Hospital Sungai Buloh sebagai sebahagian daripada usaha berterusan syarikat kereta kompak tersebut dalam menyokong institusi awam utama di seluruh negara.

Bekalan perubatan itu merangkumi 5,000 pelindung muka, kerusi roda yang dilengkapi dengan tali pinggang keselamatan, kerusi tandas duduk, papan pemindahan, rel katil, kerusi pemulihan, rangka bantu berjalan, tongkat dan meja miring terapi.

“Bekalan yang disumbangkan adalah berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh pasukan pentadbiran hospital untuk membantu menjaga keselamatan para kakitangan dan memberi keselesaan kepada pesakit mereka,” kata Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua Dato’ Zainal Abidin Ahmad.

5,000 pelindung muka yang disumbangkan oleh Perodua kepada Hospital Sungai Buloh dihasilkan oleh syarikat bersekutunya. Ia meningkatkan jumlah pelindung muka yang telah disumbangkan oleh Perodua kepada pelbagai organisasi di Malaysia menjadi 35,000 unit.

Penerima pelindung muka termasuk sekolah, klinik, pejabat kerajaan, majlis tempatan serta para penjaja di kawasan sekitar.

Pelindung muka tersebut mempunyai bahagian pelindung tahan kabus yang diperbuat daripada polyethylene terephthalate untuk penglihatan yang optimum. Kusyen span pada bahagian dahi pula menghalang kemasukan titisan air, manakala jalur elastik boleh dilaras untuk pemakaian yang selamat dan selesa.

Semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pertama pada tahun lalu, Perodua telah menyumbang 150 tilam, 200 bantal, 105 kotak air mineral, 15 kipas industri dan 300 pasang kasut getah kepada Hospital Sungai Buloh.

“Kami akan terus berkomunikasi dengan institusi awam utama bagi menentukan bagaimana Perodua boleh menyumbang secara strategik demi membantu negara. Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada wira dan wirawati negara yang berkhidmat untuk kita semua tanpa mengenal penat lelah,” kata Zainal.

Google ads
Back to top button