Buletin

PESALAH PKP AKAN DIDENDA RM1,000 SERTA-MERTA. BAYAR DALAM 14 HARI. TIADA DISKAUN

Perintah Kawalan Pergerakan fasa dua dijangka berakhir dalam beberapa hari lagi. Namun, sikap segelintir rakyat yang terus tidak mempedulikan arahan tinggal di rumah dengan keluar tanpa alasan munasabah membuatkan pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan lebih tegas.

Justeru, mulai hari ini, individu yang didapati melanggar PKP di sekatan jalan raya atau di lokasi lain akan dikenakan kompuan RM1,000. Mereka hanya akan diberi tempoh 14 hari untuk menjelaskan bayaran. Jika gagal, pesalah PKP akan dituduh di mahkamah.

Pendekatan itu nyata berbeza dengan sebelum ini di mana pesalah akan direman dan didakwa di mahkamah sebelum didenda atau dihukum penjara empat bulan dikenakan seperti yang diperuntukkan dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988).

“Polis sudahpun menerima prosedur operasi standard (SOP) bagaimana nak laksanakan kompaun terhadap pesalah PKP dan iakan digunakan terhadap mereka yang ingkar (arahan) PKP sehingga 14 April.

“Dia akan dibawa ke pejabat IPD untuk keluarkan kompaun sebanyak RM1,000, dan perlu dibayar, tiada rayuan. Jangan harap seperti kompaun yang dikenakan hari biasa sebelum ini diberi diskaun dan rayuan.

“Kalau pesalah PKP tak bayar bererti boleh mohon untuk dibicarakan di mahkamah,” tegas Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dalam satu sidang media khas di Bukit Aman.

Kaedah itu dilihat dapat mengatasi masalah kesesakan di penjara. Terdahulu,  Ketua Hakim Negara Tengku Maimun Tuan Mat menggesa supaya polis dan mahkamah mengambil kira isu tersebut ketika menjatuhkan hukuman.

Ia selepas Jabatan Penjara meminta mahkamah tidak memenjara pelaku kesalahan itu memandangkan kesesakan di penjara menyukarkan usaha melakukan penjarakan sosial. – MalaysiaGazette kredit foto: Sinar Harian

Google ads
Back to top button