Buletin

MELEPAK DALAM KONDOMINIUM SEMASA PKP, 19 INDIVIDU DIPENJARA 14 HARI

Mahkamah Majistret Kajang semalam menjatuhkan hukuman penjara selama 14 hari ke atas 19 individu kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dengan melepak beramai-ramai di dalam sebuah kondominium.

Hukuman itu dijatuhkan oleh Majistret Muhammad Noor Firdaus Rosli ke atas 15 lelaki dan dua wanita berumur antara 23 hingga 31 tahun dan memerintahkan hukuman itu bermula dari tarikh mereka ditangkap pada 3 April.

Dua remaja perempuan berumur 17 tahun turut mengaku bersalah atas pertuduhan sama. Mahkamah bagaimanapun menangguhkan hukuman mereka sementara menunggu laporan akhlak daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat pada 14 Mei.

Mereka dibebaskan dengan jaminan RM500 dan seorang penjamin.

Mengikut pertuduhan, semua mereka didakwa berada dalam kawasan jangkitan tanpa sebarang tujuan yang diperuntukkan di bawah Peraturan 3 (1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Kawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-Langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020 di sebuah unit di Kondominium Amerin, Taming Jaya, di sini, pada 12.35 tengah hari, 3 April lepas.

Mereka didakwa mengikut Peraturan 11 (1) peraturan sama, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda sehingga RM1,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Norhana Sahat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal, mengambil kira semua mereka hanya berkumpul beramai-ramai untuk ‘lepak minum’ tanpa sebarang alasan munasabah.

“Kes ini tular di media sosial kerana keengganan mereka untuk mematuhi PKP. Mereka juga dilihat sengaja mencabar undang-undang negara dan usaha kerajaan untuk memerangi wabak COVID-19 ini,” katanya.

Mengikut fakta kes, pada hari kejadian pihak polis telah menerima maklumat daripada orang awam menyatakan bunyi bising datang dari sebuah unit kondominium di sini.

Setibanya di tempat kejadian, polis mendapati 15 lelaki dan empat wanita termasuk dua remaja bawah umur gagal memberikan alasan munasabah tujuan berkumpul dan berada di luar rumah masing-masing, sebelum bertindak menahan mereka. – Bernama, kredit foto: Forbes

Tags
Google ads
Back to top button