Artikel Pilihan

BELI MAHAL-MAHAL TAPI UNTUK LITAR SAHAJA

Beberapa hari lepas penulis terlihat satu komen berbunyi “Civic Type R dah la mahal, manual saja” dah jangan menangis macam budak kecil la. Civic Type R adalah fokus pada elemen Honda, ringan dan untuk mereka yang mahukan keseronokan pemanduan gear manual. Kalau anda hanya ada lesen untuk gear auto, sila main jauh-jauh.

Terbaru Honda melancarkan pula Civic Type Limited Edition iaitu Civic paling ekstrim yang dihasilkan oleh Honda. Tiada penyaman udara, tiada radio, dan bahan kedap bunyi semuanya tidak dipasang bagi menjimatkan berat 47kg. Ia memang dilahirkan untuk pemanduan litar, bukan untuk bersiar siar di taman permainan.

Satu ketika dulu, Mitsubishi turut melancarkan versi RS dimana versi ini dibangunkan khas untuk perlumbaan. Ia dijual tanpa penghawa dingin, tingkap manual, tiada bumbung suria, tiada penebat bunyi, tiada tempat duduk Recaro, dan hanya diberikan rim besi.

Jika anda rasa ini sudah ekstrim, ada banyak lagi pengeluar supercar dan hypercar yang menghasilkan kereta yang fokus pada litar sahaja. Sudah la mahal, sesetengah model ini tidak sah untuk dipandu di atas jalan raya, hanya boleh digunakan di litar sahaja dan tidak dibenarkan untuk dibawa pulang.

Sekiranya anda berkawan dengan putera raja Arab yang akan menghadiahkan duit sempena hari lahir anda, mungkin anda boleh mempertimbangkan untuk membeli kereta-kereta ini.

1. Ferrari FXX Evoluzione merupakan sebuah Ferrari Enzo yang dibangunkan khas untuk kegunaan litar. Tujuan pembuatan ialah untuk menayangkan keupyaan Ferrari dan pembekalnya dalam menghasilkan sebuah kereta lumba. Dengan harga 2 juta pound, pemilik dibenarkan untuk memandu kereta ini di atas litar yang diluluskan oleh Ferrari sahaja

Walaupun pemilik bolehmenyimpan FXX ini di mana sahaja tempat pilihan, jurutera Ferrari akan datang untuk memeriksa keadaan kereta sebelum ia dilenjan di litar. Paling penting kereta ini tidak sah untuk dipandu di atas jalan

Enjin V12 6300cc ini menghasilkan 860 kuasa kuda bagi membolehkan pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 2.5 saat. Transmisinya diambil terus dari teknologi F1 bagi membolehkan penukaran gear dibuat dalam masa kurang 60 milisaat. Brek pula dihasilkan dari karbon dan diperkukuhkan dengan karbid silika.

FXX dipasang dengan sistem telemetri yang membolehkan jurutera Ferrari mengumpul data perlumbaan dan prestasi kereta yang akan digunakan pada masa hadapan. Jika anda perlukan kembarnya, mungkin anda boleh pertimbangkan Maserati MC12 Corsa

Hanya 30 unit sahaja dihasilkan dan unit ke 30 dihadiahkan kepada Michael Schumacher.

2. Aston Martin Vulcan – mungkin mereka bosan untuk menghasilkan kereta bagi James Bond yang selalu rosak akibat ditembak penjahat, Aston Martin menghasilkan Vulcan. Sama seperti FXX ia hanya boleh dipandu di litar sahaja dan ditemani sekumpulan jurutera yang memakai cermin mata tebal.

Ia dikuasakan dengan enjin V12 7000cc yang menghasilkan 820 kuasa kuda. Dengan cesi yang dihasilkan sepenuhnya dari gentian karbon dan sistem penghantaran kuasa yang dihasilkan daripada aloi magnesium, ia hanya seberat 1350kg sahaja. Pecutan 0-100km/h dibuat dalam masa 3 saat sahaja dan bagi menghentikannya Vulcan dilengkapi dengan brek seramik.

Ia hanya boleh dipandu di atas litar yang diluluskan oleh Aston Martin sahaja. Namun Aston membenarkan pemiliknya menyimpan kereta ini di rumah, baik sikit dari Ferrari. Sebanyak 24 unit sahaja dihasilkan oleh Aston.

3. McLaren P1 GTR – model ini baik sikit berbanding Aston dan Ferrari kerana ia merupakan model hibrid. Ia menggunakan enjin V8 3800cc namun dengan turbo berkembar. Turbo ini akan menghantar tekanan setinggi 140 kPa yang membantu enjin menghasilkan 727 kuasa kuda.

Tak cukup dengan itu McLaren tambah lagi 1 motor elektrik yang menghasilkan 176 kuasa kuda yang menjadikan kuasa keseluruhan sistem ialah 986 kuasa kuda. Sistem ini dilengkapi dengan 324 sel bateri ion lithium berkuasa tinggi yang disimpan di belakang pemandu.

Pecutan 0-100km/j dibuat dalam masa 2.4 saat dan 0-200km/j pula ialah 6.8 saat. Atas sebab keselamatan walaupun di atas litar, halaju maksimanya dihadkan pada 350km/j. Berat cesi yang dihasilkan daripada gentian karbon ini hanyalah 1395 kg sahaja. Sama seperi FXX, ia hanya boleh disimpan oleh McLaren di fasiliti mereka sahaja

4. Lamborghini Sesto Elemento – nak sedap lagi nama tambah pasta dan pizza. Lamborghini membuktikan mereka boleh menjadi pantas dengan menggunakan enjinyang lebih kecil iaiatu V10 5200cc NA. Enjin ini menghasilkan 562 kuasa kuda yang akan dihantar ke semua tayar melalui sistem AWD.

Disebabkan cesi, panel badan, sistem suspensi dan drive shaft dihasilkan daripada gentian karbon, maka beratnya hanyalah 999kg sahaja. Ia membolehkan Sesto Elemento memcut dari 0-100km/j 2.5 saat dan 0-200km/j dalam masa 8 saat dan halaju maksima mencecah 356km/j.

Bagi mencapai berat yang ringan, ia tiada penyaman udara, tiada sistem audio dan tiada kerusi. Sebaliknya ia diganti dengan pad kusyen yang dipasang terus pada cesi. Kereta ini hanya dihasilkan 20 unit sahaja.

5. Buggati Vision Grand Turismo – hanya satu unit sahaja yang dihasilkan dan dari segi luaran rekaannya sama seperti Chiron. Ia dikuasakan dengan enjin 8000cc 16 silinder yang disusun dalam huruf W. Kuasa yang dihasilkan ialah 1627 kuasa kuda yang digandingkan dengan transmisi 7 kelajuan

Tapi kalau dah power sangat, terpaksalah pakai sistem AWD. Walaupun tidak pernah diuji di atas jalan atau litar, jurutera Buggati menyatakan kereta ini mempunyai halaju maksima 447km/j. Bagi setiap kali servis, kereta ini memerlukan kos sebanyak USD 20,000.

4 biji tayar gantian dari jenama Michelin pula berharga USD 93,000

6. Pagani Zonda Revolucion- jenama dari Itali tapi menggunakan enjin V12 buatan Mercedes – AMG dengan sesaran 6000cc. Enjin ini menghasilkan 789 kuasa kuda sebelum disalurkan kepada transmisi 6 kelajuan yang mampu beroperasi dalam masa 20 milisaat sahaja. Transmisi ini dihasilkan daripada magnesium

BOSCH pula bertanggungjawab mereka sistem ESC 12 talaan bagi mengawal jentera ini. Brembo pula membekalkan brek dengan teknologi F1 bagi kegunaan ekstrim di litar. Ia 15% lebih ringan dan lebih sejuk. Cesi monocoque yang dihasilkan pula merupakan gabungan gentian karbon yang ditenun dengan titanium.

Berat keseluruhan kereta ini hanyalah 1070kg sahaja bagi membolehkan ia memecut dari 0-100km/h dalam masa 2.7 saat. Halaju maksimanya melebihi 350km/j. Berbeza dengan jenama lain, Pagani menggunakan tayar Pirelli P Zero Zonda R

Jika pembaca perasan, penulis tidak meletakkan harga bagi setiap model yang dinyatakan. Harga dia merapu sangat dan paling utama bukan boleh pandu di jalan raya biasa. Nak bawak balik ke rumah dan membongak depan jiran pun tak boleh. Baik beli Myvi GT.

Atas sebab ia hanya digunakan di atas litar, maka ia tidak dibuat bagi melepasi homologasi keselamatan. Bukan bermaksud ia tidak dilengkapi dengan anti roll cage, namun beberapa ciri fizikalnya tidak melepasi standard keselamatan pengguna jalan raya lain.

Disebabkan talaan ekstrim, maka enjin kereta ini juga tidak melepasi ujian pencemaran asap terutama Euro6. Ya memang ada sesetengah model dibuat semula untuk melepasi tahap pencemaran, namun kuasa enjin telah direndahkan.

Tags
Google ads
Back to top button