Buletin

BANGUNAN SELANGOR MANSION DAN BANGUNAN MALAYAN MANSION JADI LOKASI TERKINI ARAHAN PKPD

Bangunan Selangor Mansion dan Bangunan Malayan Mansion di Jalan Masjid India, Kuala Lumpur menjadi lokasi terkini Perintah Kawalan Diperketatkan (PKPD). 

Diumumkan sebentar tadi oleh Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, langkah itu diambil berikutan 15 kes positif jangkitan COVID-19 di telah dikesan kedua-dua bangunan tersebut.

“PKPD ini akan melibatkan penghuni di 365 unit kediaman dan premis perniagaan. Perintah akan berkuat-kuasa pada 7 April 2020 sehingga proses pengesanan dari unit ke unit selesai. 

“Saringan kesihatan wajib akan dijalankan sepanjang tempoh 14 hari PKPD dikuatkuasakan. Justeru, setiap penghuni mesti berada di dalam rumah masing-masing. Mereka tidak dibenarkan keluar dan orang luar pun tidak dibenarkan masuk ke sana. 

“Saya sangat berharap semua penghuni yang dikenakan arahan PKPD di kedua-dua buah bangunan ini supaya mematuhi setiap arahan yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa.

“Saya juga meminta orang ramai yang mempunyai kawan-kawan atau keluarga di situ agar tidak mengunjungi kawasan yang telah diisytiharkan PKPD,” tegas Ismail Sabri. 

Seperti biasa, pihak polis, APM, ATM dan RELA akan mengawal seluruh kawasan tersebut.  

Sebelum ini, PKPD telah dilaksanakan di tiga tempat iaitu Simpang Rengggam, Hulu langat dan Menara City One, Kuala Lumpur. Arahan PKPD membuatkan akses keluar masuk ke lokasi berkenaan tidak dibenarkan dan kini dikawal ketat oleh pasukan polis serta tentera. 

Google ads
Back to top button