Buletin

PETRON TAJA BAHAN API KEPADA 3 NGO BERNILAI RM60K

Petron Malaysia menyokong beberapa badan kebajikan dalam misi mereka memberikan bantuan perubatan dan makanan kepada komuniti.

Tiga badan kebajikan bukan kerajaan (NGO) iaitu Community Policing Malaysia, MERCY Malaysia dan My Food Directory & Delivery Covid-19 menerima tajaan minyak dari Petron Malaysia bernilai RM60,000.  

Menurut aktivis Uncle Kuan daripada Community Policing Malaysia, pihaknya berjaya membantu ramai orang melalui inisiatif Ambulans RM1 dan Teksi RM0.10 sepanjang tahun.

Tajaan bahan api itu membolehkan mereka membantu lebih ramai keluarga B40 yang memerlukan perkhidmatan pengangkutan ke hospital dan pusat pemberian vaksin.

Sejak PKP tahun lalu, Petron kekal komited dalam memberi sokongan kepada misi-misi kemanusiaan di bawah MERCY Malaysia yang mensasarkan komuniti dan hospital. MERCY merupakan sebuah NGO yang memberi bantuan dan sokongan perubatan dan kesihatan kepada masyarakat di Malaysia dan di luar negara.

Satu organisasi yang bermula dari gerakan kumpulan warga prihatin di Facebook yang memberi perkhidmatan penghantaran makanan kepada komuniti B40 juga mendapat tajaan minyak Petron.

My Food Directory and Delivery C19 (MFDDC19) memulakan operasi mereka pada April 2021, mengumpulkan 42,000 rakan komuniti untuk membantu satu sama lain dengan menyokong perniagaan tempatan.

Dengan semangat #kitajagakita, ahli MFDDC19 berjaya menguruskan lebihan makanan dan menghantar kepada ahli-ahlinya dari golongan M40 dan B40 yang terkesan semasa pandemik ini.

“Menerusi tajaan Petron ini, kami mampu memberi sokongan kepada lebih 90 orang pemandu kami yang bertugas sebagai penghantar makanan buat komuniti di Lembah Klang,” kata pentadbir MFDDC19 Sara Low.

Google ads
Back to top button