Buletin

PINJAMAN BELI KERETA MENINGKAT, NAIK 10.3 PERATUS PADA MEI 2024

Pinjaman untuk pembelian kereta penumpang meningkat pada kadar yang lebih tinggi iaitu 10.3 peratus pada Mei 2024 berbanding 8.9 peratus pada bulan sama 2023, kata TA Securities.

Ia berkata, pada bulan itu, jumlah pinjaman pengguna dilihat berkembang 6.6 peratus berbanding bulan sama tahun lalu, sementara berbanding April 2024, ia berkembang 0.6 peratus.

Katanya, gadai janji kediaman, yang menyumbang kira-kira 64 peratus daripada jumlah pinjaman pengguna, terus menyokong pertumbuhan dalam segmen pinjaman pengguna, meningkat pada kadar yang lebih kukuh 7.6 peratus.

“Pinjaman untuk pembelian kereta penumpang juga meningkat pada kadar yang lebih sihat sebanyak 10.3 peratus dari asas tahun ke tahun (Mei 2023: 8.9 peratus), manakala pengeluaran tahunan untuk kad kredit dan pinjaman untuk kegunaan peribadi berkembang masing-masing 8.9 peratus dan 5.0 peratus.

“Walau bagaimanapun, pengeluaran bagi pembelian sekuriti merosot semula sebanyak 9.3 peratus,” katanya dalam nota penyelidikannya.

Berdasarkan perangkaan dikeluarkan Persatuan Automotif Malaysia (MAA), pada Mei 2024, kenderaan penumpang mencatatkan jualan sebanyak 62,862 unit, meningkat 11 peratus berbanding 56,448 unit bulan sama pada 2023.

RHB Research pula berkata, penunjuk pemberian pinjaman dilihat bercampur-campur pada Mei 2024.

Ia berkata, pada Mei, permohonan dan kelulusan pinjaman memperlihatkan kenaikan kukuh dari asas bulan ke bulan pada 14 peratus dan sembilan peratus, mungkin disebabkan oleh musim perayaan Aidil Fitri yang tiba pada April.

Walau bagaimanapun, secara asas tahunan, permohonan pinjaman berkembang tiga peratus, sementara kelulusan pinjaman susut lima peratus daripada paras asas yang lebih tinggi tahun lalu.

“Secara kumulatifnya, permohonan pinjaman sistem dalam lima bulan 2024 naik empat peratus, tetapi kelulusan pinjaman dan pembayaran pinjaman kepada peminjam berkembang pada kadar yang lebih perlahan, iaitu satu peratus,” katanya. – Berita Harian

Google ads
Back to top button