
BUKAN COUPE SPORT, MITSUBISHI ECLIPSE KINI JADI SUV EV
Nama Eclipse terus digunakan Mitsubishi, namun kali ini sekali lagi bukan untuk sebuah coupe sport seperti yang pernah popular antara tahun 1989 hingga 2011.
Selepas diperkenalkan pada model crossover Eclipse Cross, nama berkenaan kini disahkan bakal digunakan pada sebuah SUV elektrik baharu dikenali sebagai Mitsubishi Eclipse Sportback EV untuk pasaran Amerika Utara bermula model tahun 2027.
Apa yang menarik, model itu sebenarnya dibangunkan berasaskan generasi terbaharu Nissan Leaf dengan hanya beberapa perubahan kosmetik serta identiti Mitsubishi.
Ini sekali gus mungkin mengecewakan peminat yang mengharapkan kemunculan semula sebuah coupe sport sebenar menggunakan nama Eclipse.

Dari segi rekaan, Eclipse Sportback EV mengekalkan bentuk crossover fastback sama seperti Leaf, namun Mitsubishi memberikan beberapa sentuhan tersendiri.
Bahagian hadapan menerima bampar baharu bersama gril berbeza dan saluran udara mendatar yang direka untuk meningkatkan aerodinamik.
Lampu utama LED pula masih menyerupai unit pada Nissan Leaf, cuma tanpa jalur hitam yang menghubungkan kedua-dua lampu.
Pada sisi, model ini menampilkan lencana EV pada pintu hadapan, kemasan krom di sekeliling tingkap serta rim aero tiga jejari bersaiz 18-inci.

Di belakang, perubahan yang dilakukan agak minimum dengan bampar lebih berotot, pintu belakang rekaan baharu serta grafik lampu LED tersendiri. Bagaimanapun, ia tidak menerima lampu “3D holographic LED” seperti yang ditawarkan pada varian tertinggi Nissan Leaf Platinum+.
Bahagian kabin masih belum diperlihatkan secara rasmi, namun dijangka hampir sama dengan Nissan Leaf termasuk penggunaan dua skrin digital bersaiz 12.3-inci atau 14.3-inci bergantung kepada varian.
Ciri seperti bumbung panoramik electrochromic dan sistem audio Bose dengan pembesar suara pada perehat kepala juga masih belum disahkan untuk model Mitsubishi ini.
Eclipse Sportback EV menggunakan platform CMF-EV yang turut dikongsi bersama Nissan Ariya dan Leaf generasi baharu.
Dari segi prestasi, Leaf ketika ini ditawarkan dengan pilihan bateri 52kWh dan 75kWh serta motor elektrik tunggal yang menghasilkan kuasa sehingga 214hp.
Jarak perjalanan maksimum dianggarkan sekitar 488 kilometer bagi sekali cas penuh mengikut penilaian EPA.
Mitsubishi dijangka mendedahkan spesifikasi penuh serta harga rasmi model itu dalam masa terdekat sebelum pelancaran pasaran.
Selain Eclipse Sportback EV, syarikat itu turut mengesahkan sebuah varian lasak berasaskan Outlander SUV bakal diperkenalkan pada awal 2027.
Menariknya, Mitsubishi turut memberi bayangan bahawa mereka akan memperkenalkan model baharu atau versi kemas kini utama setiap tahun sehingga 2030 sebagai sebahagian daripada strategi pengembangan global syarikat.



