
HONDA TAYANG PRELUDE SEMPENA KLIMS 2026
Honda Prelude Serba Baharu kembali ke Malaysia dengan satu misi yang cukup penting iaitu membuktikan bahawa sebuah kereta hybrid masih mampu memberikan keseronokan pemanduan yang sebenar.
Selepas sekian lama nama Prelude menyepi daripada pasaran global, Honda akhirnya menghidupkan semula model legenda ini dalam bentuk yang lebih moden, lebih canggih dan lebih relevan untuk era elektrifikasi.
Kehadiran Honda Prelude Serba Baharu juga membawa satu pencapaian penting untuk pasaran tempatan apabila ia menjadi sports hybrid coupe pertama yang ditawarkan oleh Honda Malaysia.
Dalam dunia automotif hari ini yang semakin dipenuhi SUV dan crossover, kemunculan sebuah coupe dua pintu dengan rekaan sporty dan teknologi hybrid sememangnya sesuatu yang cukup istimewa.
Dari sudut reka bentuk, Prelude Serba Baharu tampil dengan rekaan coupe yang rendah dan lebar, memberikan imej yang sporty sejak pandangan pertama.
Profil badan yang kemas dan aerodinamik bukan sahaja menjadikannya kelihatan pantas walaupun ketika statik, malah turut membantu meningkatkan kecekapan pemanduan.

Ia merupakan sebuah kereta yang direka untuk menarik perhatian, sama ada ketika diparkir atau sedang meluncur di atas jalan raya. Salah satu elemen paling menarik pada Prelude Serba Baharu ialah teknologi S+ Shift.
Honda meletakkan teknologi ini sebagai nadi utama kepada pengalaman pemanduan model tersebut. Walaupun menggunakan sistem hibrid, S+ Shift direka untuk memberikan rasa pemanduan yang lebih responsif dan menyeronokkan, seolah-olah pemandu sedang mengendalikan sebuah kereta prestasi konvensional.
Melalui sistem ini, pemandu dapat menikmati tindak balas kuasa yang lebih pantas serta pengalaman pemanduan yang lebih mengujakan dan hidup setiap kali pedal pendikit ditekan.
Inilah sebabnya Honda menggunakan slogan “Experience Fun with S+ Shift”. Teknologi tersebut bukan sekadar membantu meningkatkan prestasi pemanduan, malah menjadi bukti bahawa peralihan kepada kuasa elektrifikasi tidak semestinya mengorbankan keseronokan di belakang stereng.
Selain itu, Honda Prelude Serba Baharu turut menerima sentuhan kejuruteraan casis yang diinspirasikan daripada pembangunan Honda Civic Type R. Kehadiran Type R Chassis Engineering menunjukkan bahawa Honda memberi perhatian serius terhadap aspek pengendalian dan kestabilan kereta ini.

Hasilnya ialah sebuah coupe yang bukan sahaja selesa digunakan setiap hari, malah mampu memberikan keyakinan yang tinggi ketika mengambil selekoh atau memandu di jalan berliku.
Bagi melengkapkan imej sporty tersebut, Prelude Serba Baharu Dilengkapi dengan rim aloi bersaiz 19 inci yang dipadankan bersama angkup brek Brembo. Kombinasi ini bukan sahaja memberikan penampilan yang lebih agresif, malah membantu meningkatkan keupayaan membrek dan kawalan ketika pemanduan berprestasi tinggi.
Ia merupakan satu pakej yang sesuai untuk sebuah model yang membawa nama besar seperti Prelude Serba Baharu. Walaupun tampil dengan karakter sporty, Honda tidak melupakan identitinya sebagai peneraju teknologi hibrid.
Prelude Serba Baharu menjadi sebahagian daripada strategi Honda Malaysia untuk memperkukuhkan jenama “Hybrid Done Right”, iaitu falsafah yang menekankan keseimbangan antara prestasi, kecekapan bahan api dan keseronokan pemanduan.
Dalam erti kata lain, Prelude Serba Baharu tidak dibangunkan semata-mata untuk menjadi kereta yang menjimatkan minyak, tetapi juga sebuah kereta yang mampu membuatkan pemandu tersenyum setiap kali berada di belakang stereng.

Kemunculan semula Prelude Serba Baharu juga membawa mesej yang lebih besar daripada sekadar pelancaran sebuah model baharu. Ia mencerminkan keberanian Honda untuk menghidupkan kembali sebuah nama ikonik dan menyesuaikannya dengan keperluan generasi masa kini.
Dalam era di mana kebanyakan pengeluar memberi tumpuan kepada SUV dan kenderaan elektrik sepenuhnya, Honda memilih untuk menawarkan sesuatu yang cukup berbeza menerusi sebuah sports hybrid coupe yang menggabungkan emosi, teknologi dan kecekapan dalam satu pakej.
Dengan gabungan rekaan coupe yang menawan, teknologi S+ Shift, kejuruteraan casis berinspirasikan Type R serta identiti Hybrid Done Right, Honda Prelude Serba Baharu berpotensi menjadi kereta impian baharu bagi ramai rakyat Malaysia. Ia membuktikan bahawa masa depan automotif tidak semestinya membosankan, malah boleh menjadi lebih menyeronokkan berbanding sebelum ini.
Bagi mereka yang ingin melihat sendiri model ini dengan lebih dekat, Honda menjemput orang ramai mengunjungi pengedar sah Honda terdekat, melayari laman web Honda Malaysia atau hadir ke KLIMS 2026 untuk merasai sendiri aura Honda Prelude Serba Baharu.
Berani Menggapai Impian. Nikmati Keseronokan dengan S+ Shift








