Buletin

VOLVO XC60 BAKAL TERIMA NAFAS BAHARU, JARAK GERAK ELEKTRIK BOLEH CECAH 160KM

Model SUV paling laris Volvo bakal menerima kemas kini besar dalam masa terdekat, termasuk peningkatan ketara pada sistem hibrid plug-in (PHEV) serta rekaan luaran yang lebih segar.

Menurut laporan Automotive News, Volvo dijangka memperkenalkan versi baharu XC60 dengan kapasiti bateri lebih besar khusus untuk varian T8 PHEV.

Langkah itu dikatakan mampu meningkatkan jarak pemanduan elektrik sepenuhnya dengan ketara berbanding model semasa.

Ketika ini, Volvo XC60 T8 menawarkan jarak elektrik sekitar 35 batu (56km), namun peningkatan bateri baharu itu dipercayai mampu menggandakan atau malah hampir tiga kali ganda angka berkenaan.

Jika tepat, SUV tersebut berpotensi menawarkan hampir 100 batu (160km) pemanduan menggunakan kuasa elektrik sahaja.

Sebagai perbandingan, Mercedes-Benz GLC 350e ketika ini menawarkan jarak elektrik sekitar 54 batu (87km), sekali gus meletakkan XC60 baharu di hadapan dalam segmen SUV hibrid plug-in premium.

Model semasa menggunakan bateri lithium-ion berkapasiti 18.8kWh, dipadankan dengan enjin 2.0-liter empat silinder turbo dan supercas bersama dua motor elektrik.

Gabungan sistem itu menghasilkan kuasa keseluruhan 455hp dan tork 523lb-ft.

Prestasi juga bukan calang-calang apabila XC60 T8 mampu memecut dari 0 hingga 96km/j dalam sekitar 4.5 saat.

Selain peningkatan trenkuasa, Volvo turut dijangka memberikan sentuhan rekaan lebih moden termasuk lampu hadapan baharu dan gril yang dikemas kini. SUV berkenaan dijangka membuat kemunculan rasmi seawal tahun hadapan.

Dengan bateri lebih besar dan penambahbaikan rekaan, harga jualan juga dijangka meningkat berbanding model semasa yang bermula sekitar AS$62,545 (RM254,064).

Google ads
Back to top button