
CFMOTO V4-SR RR HAMPIRI PROSES HOMOLOGASI – 210HP, MAMPU REV SEHINGGA 14,500RPM
CFMoto baru-baru ini memuat naik perkembangan semasa mengenai prototaip CFMoto V4-SR RR di media sosial.
Berdasarkan perkongsian tersebut, jentera superbike pertama dari jenama itu sedang menjalani ujian peringkat akhir dan bakal menjalani proses homologasi bulan ini.

Perkembangan semasa itu sekaligus mengesahkan bahawa motosikal berkenaan akan mula memasuki peringkat pengeluaran tidak lama lagi.
Segmen supersport 1000cc dengan enjin V4 yang selama ini didominasi jentera Eropah seperti Ducati Panigale V4 dan Aprilia RSV4 bakal bertambah sengit dengan penyertaan V4-SR RR.

Sebagai superbike V4 pertama dari China, model baharu ini mencuri perhatian sejak CFMoto mempamerkan V4-SR RR ini di EICMA tahun lalu sehinggakan CEO Ducati, Claudio Domenicali telah hadir ke reruai CFMoto bagi menyaksikan dengan lebih dekat prototaip berkenaan.
CFMoto juga tidak berselindung disebalik menjadikan Panigale V4 sebagai petanda aras.

Atas kertas, V4-SR RR ini dikuasakan enjin V4 997cc yang berupaya menjana 210hp pada 14,500rpm dan mampu mencapai kelajuan lebih 300km/j sekaligus menempatkan jentera ini setara pesaing lain.
Namun, ciri paling menonjol terarah pada pakej aerodinamik kerana menampilkan sistem winglet aktif pertama dunia. Teknologi ini menyelaraskan kedudukan winglet mengikut kelajuan jentera sekaligus menyumbang kepada downforce yang lebih baik pada setiap peringkat kelajuan.

Walaupun CFMoto belum mendedahkan spesifikasi penuh model tersebut namun laporan di China mendedahkan berat motosikal itu adalah bawah 200kg dengan nisbah kuasa kepada berat hanyalah 1:1.
CFMoto V4-SR RR itu dijangka membuat debut rasmi sebagia motosikal produksi pada penghujung tahun ini di EICMA.









