HONDA FREED 2024 DENGAN KIT HONDA ACCESS, ACTIVE TOUGH STYLE DAN SUPERIOR STYLE
Honda Freed secara rasminya dijual di Jepun dan seperti biasa pelanggan diberi pilihan aksesori Honda Access.
Freed 2024 digerakkan dua pilihan enjin iaitu 1.5 liter i-VTEC dengan kotak gear eCVT dan menghasilkan 118 ps pada 6,600 rpm dan daya kilas 142Nm pada 4,300 rpm.
Satu lagi pilihan ialah 1.5 liter hibrid dua motor e:HEV yang menghasilkan 106 ps dari 6,000 sehingga 6,600 rpm dan 127Nm dari 4,500 sehingga 5,000 rpm.
Motor elektrik mempunyai kuasa 90 kW (123 ps) dari 3,500 sehingga 8,000 rpm dan 253Nm dari 0 sehingga 3,000 rpm.
Pelanggan juga ditawarkan pacuan roda depan (FF) atau empat roda (4WD). Bergantung kepada varian, Freed boleh memuatkan lima, enam atau tujuh penumpang.
Freed dibahagikan kepada dua varian utama iaitu Freed Crosstar dengan konsep aktiviti luar (outdoor) dan Freed Air yang tampil membawa gaya urban.
Kit Honda Access juga dibahagi kepada dua iaitu Active-Tough Style untuk Freed Crosstar dan Superior Style bagi pemilik Freed Air.
Honda Freed Crosstar Active-Tough Style
Pakej Active-Tough Style menyerlahkan lagi imej aktif dan lasak Freed Crosstar melalui tema perak dan hitam seperti panel jeriji depan dalam warna Berlina Black dan krom hitam.
Lagi gabungan hitam dan perak pada panel tengah bampar dengan logo Crosstar dan pendakap bawah bampar.  Pendakap pintu juga mempunyai logo Crosstar. Logo H berwarna krom hitam.
Rim yang diberikan dari model MG-032 saiz 15 inci warna Grant Black dan penutup hab warna krom hitam dan Berlina Black.
Honda Freed Air Superior Style
Superior Style pula mengubah rupa depan Freed Air dengan bampar aero dengan lampu kabus LED, panel jeriji Berlina Black dan krom dan spoiler belakang.
Rim aluminium MG-031 15 inci dibuat dalam dua warna dan penutup hab warna krom dan Berlina Black.
Selain perkakasan luar, pelanggan ditawarkan pelbagai aksesori dalaman seperti meja lipat pada sisi kerusi penumpang, pelapik ambang pintu bernyala (depan) dan pengecas USB PD.
Freed Crosstar (lima tempat duduk) ditawarkan kotak barangan pada sisi but, cangkuk gantung, rak siling but dan terpal pintu but semasa berkhemah.
Pelanggan juga ditawarkan penutup cermin yang melindungi terus pandangan dari luar dan dalam kereta, alas kaki semua cuaca, pelapik lantai but dan perakam pemanduan depan dan belakang.
Bagi membantu pemandu, Honda menawarkan sistem navigasi Gathers yang terdiri daripada Honda Connect Navigation saiz 11.4 inci, 9 inci dan 8 inci dan skrin audio 8 inci.
Kesemua model boleh digunakan bersama Honda Connect. Kamera Undur Anshin Plus 4 inci mempunyai fungsi bantuan parkir yang dipertingat dan boleh dipasang sebagai pilihan sistem navigasi.
Turut ditawarkan skrin untuk penumpang belakang saiz 12.8 inci dan 10.1 inci.
Honda Freed Active-Tough Style:
Honda Freed Superior Style:
Kit Honda Access untuk Honda Freed: