Buletin

PKP DILANJUTKAN HINGGA BULAN RAMADAN?

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan samada Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akan dilanjutkan hingga ke bulan Ramadan.

Umat Islam akan memulakan ibadah puasa bermula 24 April nanti dan jadual asal PKP peringkat ke 2 hanya akan bermula esok (1 April) dan dijadual berakhir 14 April nanti.

“Kita hanya akan dapat tahu selepas minggu pertama April keberkesanan PKP ini. JIka kita berjaya mendatarkan graf (penularan), tiada peningkatan mendadak, saya rasa kita sudah boleh membuat keputusan,” Ujar Noor Hisham.

Pengarah Kesihatan itu memberitahu bahawa apa yang lebih penting sekarang ialah mempraktikkan penjarakan sosial dan mengelakkan tempat-tempat sesak.

Jika pasar Ramadan mahu dibuka, kaedah penjarakan sosial dan peraturan kesihatan perlu dijalankan dengan tegas.

Dengan tempoh dua minggu lagi, Noor Hisham berharap agar orang ramai meneruskan peranan masing-masing tinggal dirumah sementara pihak berwajib meningkatkan jumlah ujian dan mengenalpasti kumpulan mana yang perlu dikuarantin dan dirawat.

“Jika kita mengamalkan disiplin sosial, saya yakin kita dapat meratakan graf dan elakkan peningkatan kes ketara. Jika tidak, Jangkaan JP Morgan dan Institut Kajian Ekonomi Malaysia (MIER) kita akan lihat lonjakan angka pada pertengahan April.

Kedua-dua organisasi kajian dan badan pemikir itu menjangkakan puncak jangkitan Covid19 di Malaysia akan berada pada angka 6,000 dan 9,000 kes.

Setakat ini, Terengganu dan Negeri Sembilan sudah memuktamadkan tidak membenarkan bazar Ramadan. Pengerusi Persatuan Pengguna negeri Johor, Md Salleh Sadijo juga mendesak agar semua bazar Ramadan di Johor dibatalkan.

Sewaktu mempengerusikan mesyuarat Majlis Keselamatan Negara (MKN) peringkat negeri, Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob membayangkan kemungkinan tiada bazar Ramadan di negeri ini pada tahun ini.

Adalah dijangka dalam minggu-minggu akan datang, banyak negeri akan membuat keputusan tentang status baar Ramadan di negeri masing-masing.

Google ads
Back to top button