Artikel Pilihan

MINYAK PELINCIR MURAH DIJUAL ATAS TALIAN. BOLEH PERCAYA KE?

Cuba anda layari laman e-commerce di laman sesawang sekarang dan cari minyak pelincir untuk enjin kereta. Anda akan jumpa dengan pelbagai jenama dari jenama yang boleh dipercayai seperti Shell, Petronas, Mobil dan beberapa jenama lain yang agak diragui seperti Mak Lampir, Zaza dan Roti John.

Maaf nama tersebut adalah rekaan. Namun realitinya ialah nama yang digunakan melambangkan nama berasal dari Jepun, Jerman dan Amerika. Antara ayat yang diiklankan ialah diformulasikan di Amerika, dicipta oleh saintis Jerman dan diilhamkan oleh pelumba Jepun.

Namun yang paling menarik ialah harganya yang begitu murah, sangat murah sehingga penulis berfikir. Berapakah kos pengeluaran, pengedaran, pemasaran dan pembangunan produk? Bagaimanakah semua minyak pelincir ini memenuhi keperluan regulasi yang ditetapkan oleh pengeluar kereta?

Paling murah penulis menemui sebotol minyak sintetik penuh dengan kelikatan 5W-30 dengan gred API SN. Harganya ialah RM45 bagi 4 liter. Ada yang berharga RM 58 dan RM75. Manakala jenama ternama seperti Petronas Sytium 3000 dijual dengan harga RM248 bagi API SN 5W-40 sintetik penuh.

Shell Helix Ultra API SN 5W-40 pula dijual pada harga RM314 dengan kuantiti 4 liter. Ia merupakan minyak pelincir sintetik penuh termaju yang dihasilkan oleh Shell.

Kami menerima satu soalan dari pembaca yang bertanyakan kepada Mekanika: 1. Apakah kualiti antara minyak pelincir berjenama dengan minyak pelincir cap ayam dan 2. kenapa harga minyak pelincir mahal?

1. Persoalan Pertama – Base Stock Oil

Cuma ada satu soalan yang penulis nak tanya, minyak sintetik penuh yang jual murah-murah ini ambil dari kumpulan mana ye? Ya minyak pelincir dikelaskan mengikut kumpulan, macam kumpulan politik, Team A, Team B, dan kartel.

Pengkelasan minyak pelincir ini dibuat berdasarkan base stock oil atau minyak asas yang digunakan sebagai ramuan utama.

Group I – merupakan minyak pelincir yang berasaskan kepada minyak petroleum, namun telah melalui proses Solvent Refining atau Penapisan Kimia. Bahan kimia akan ditambah kepada petroleum bagi menyingkirkan bahan lain yang tidak diperlukan. Biasanya, ia mengandungi 0.03% sulfur dengan indeks kelikatan antara 80-120.

Group II – dihasilkan melalui proses hydrocracking, dengan atom hidrogen ditambah pada rantaian hidrokarbon dalam proses penapisan. Teknologi yang dimulakan pada tahun 1970 ini menghasilkan minyak asas yang lebih cerah, mengandungi 0.03% sulfur dan indeks kelikatan antara 80-120.

Group III – Pada tahun 1993, selepas prosess hydrocracking, terdapat 2 proses yang ditambah pada petroleum bagi menghasilkan produk yang lebih baik. Proses tersebut ialah Hydroisomerization dan Hydrotreating.

Hydroisomerization adalah proses untuk menyingkirkan lagi sulfur dengan menggunakan hidrogen dibawah tekanan tinggi. Hydrotreating pula ialah proses menyingkirkan gas hidrogen daripada parafin (komponen petroleum) bagi menghasilkan olefin yang tepu dan stabil.

Loji pemprosesan Petronas

Kandungan sulfur kurang 0.03% dan indeks kelikatan melebihi 120. Sesetengah syarikat memanggil minyak dalam kumpulan ini sebagai minyak sintetik.

Group IV-merupakan minyak sintetik yang dihasilkan daripada Poly-alpha-olefins dengan indeks kelikatan antara 125-200. Apabila menyebut perkataan sintetik, minyak ini sendiri bukannya dihasilkan daripada petroleum namun dihasilkan secara kimia.

Rantaian karbon dan hidrogen dalam kumpulan ini disebut sebagai polimer. Poly-alpha-olefin terdiri daripada unsur olefin sebagai monomer. Ia dihasilkan melalui proses polimerisasi unsur olefin yang akan menghasilkan rantaian 3 demensi poly-alpha-olefin.

Kelebihan unsur polimer ialah ia ada ketahanan pengoksidaan pada suhu ekstrim dan mudah mengalir pada suhu sejuk ekstrem.

Group V – dihasilkan di dalam kilang dengan mencampurkan sebatian asid yang mengandungi oksigen dipanggil (oxoacid) dengan alkohol ataupun asid karboksilik. Campuran ini biasa disebut sebagai ester.

Pendek kata, minyak pelincir terbahagi kepada 5 kumpulan. 3 kumpulan berasal daripada petroleum dan 2 dihasilkan secara sintesis. Syarikat ternama memang diketahui memiliki pasukan eksplorasi carian telaga minyak, memproses petroleum bagi menghasilkan bahan bakar dan pelincir.

Seperti aktiviti ini seperti yang diketahui bukanlah murah seperti menjual roti John di tepi jalan. Ia sangat berisiko, berbahaya, sangat mahal dan memerlukan kepakaran yang tinggi.

Bagi menghasilkan minyak sintetik penuh, pengeluar akan mencampurkan ester dengan polyolefin dan sesetengahnya mencampurkan minyak dari kumpulan 3.

2. Persoalan Kedua – Pengiktirafan ILSAC/ACEA?

Izinkan saya perkenalkan pembaca kepada ILSAC ataupun nama panjangnya International Lubricants Standardization and Approval Committee yang ditubuhkan pada tahun 1992. Ia terdiri daripada AAMA (American Automobile Manufacturer Association – Ford dan General Motor) serta JAMA (Japan Automobile Manufacturer Association).

ILSAC akan menentukan keperluan, parameter, perlesenan dan pentadbiran keperluan minyak pelincir. ILSAC akan bekerjasama dengan API (American Petroleum Industry), SAE (Society Automotive Engineers) dan ASTM (American Society for Testing and Materials).

Bagi minyak pelincir yang akan dipasarkan di Eropah, ia akan dikawal selia oleh The European Automobile Manufacturers’ Association atau singkatannya ialah ACEA. Tugas mereka adalah mereka satu piawaian bagi kegunaan industri automotif di Eropah termasuklah piawaian minyak pelincir.

ACEA dianggotai oleh BMW, DAF, Daimler, Fiat, Ford, Ferrari, Honda, Hyundai, Iveco, Jaguar Land Rover, Opel, Peugeot Citroen, Renaul, Toyota, Volkswagen, dan Volvo.

Jadi soalan kedua penulis ialah, apakah pengiktirafan yang digunakan oleh minyak yang dijual di atas talian? Adakah ILSAF GF-5 atau ACEA? Kalau ada kira ok, kalau tak ada nasiblah. Ingat ada beza minyak yang diiktiraf oleh ILSAC dan tidak diiktiraf oleh ILSAC.

3. Ujian Perlumbaan

Salah satu cara pengeluar menguji keupayaan minyak pelincir yang dihasilkan ialah menguji minyak tersebut di acara perlumbaan. Sebagai contoh, enjin yang digunakan dalam perlumbaan diiktiraf antara enjin yang paling canggih dan memerlukan perhatian rapi dari aspek pelinciran.

Syarikat Shell membekalkan minyak pelincir kepada pasukan Ferrari Scuderia F1 di mana asas based oil dan bahan aditif yang digunakan adalah sama dengan minyak pelincir yang dijual di pasaran.

Petronas lagi hebat dengan membekalkan minyak pelincir kepada pasukan Mercedes AMG Petronas dan telah menjadi 6 kali juara dunia.

Soalan ketiga penulis ialah, ada tak jenama minyak pelincir yang anda beli melaburkan duit bagi tujuan pembangunan dan ujian ketahanan seperti yang disebut di atas? Kalau setakat printscreen kata-kata pujian di FB ni kami pun boleh buat dengan pakai minyak belacak campur minyak lintah.

4. Menjadi minyak pelincir pilihan bagi model prestasi tinggi

Sesetengah pengeluar memilih jenama tertentu bagi memenuhi keperluan pelinciran bagi enjin mereka. Sudah pasti ia akan dicadangkan pada kereta prestasi tinggi keluaran mereka.

Sebagai contoh minyak pelincir Mobil 1 merupakan minyak pelincir bagi model Aston Martin Rapide S, Chevrolet Camaro, Corvette, McLaren, Nissan GT-R, Porsche dan Bentley.

Soalan ke empat penulis, jenama kereta mana yang mengesyorkan minyak hitam yang anda guna?

5. Mengapa dijual mahal

Memang tidak dinafikan, harga petroleum telah jatuh ke paras yang rendah dalam tempoh 17 tahun. Secawan teh tarik sekarang harganya lebih mahal daripada seliter petrol RON 95.

Itu harga jualan ye tuan-tuan,. Namun dalam perniagaan bolehkah mereka membayar pekerja mereka dengan lebih murah, mengurangkan pembayaran kepada pembekal disebabkan harga petroleum telah jatuh?

Seperti yang disebut dalam poin no 1, proses penghasilan base oil merupakan satu proses yang kompleks. Lagi mahal dari RM250,000, motor RX-Z orimoto dan roti. Ia mahal, rumit dan banyak halangan.

Kita masih belum mengira lagi kos kajian pembangunan produk dan ujian yang dijalankan di litar serta jalan raya.

Tapi sebenarnya terpulang kepada pembaca sekalian kerana anda beli minyak pelincir tersebut menggunakan duit anda. Walaupun banyak minyak pelincir jenama cap ayam masih dijual secara terbuka dengan kualiti yang diragui, penulis rasakan ada hikmahnya tersendiri.

Ini sebenarnya menjana pendapatan tambahan kepada pemilik bengkel sekiranya enjin anda jahanam terus.

Bayangkan berapa ramai yang anda telah bantu dengan menggerakkan ekonomi setempat apabila usaha pembaikan enjin kereta anda dilakukan.

Google ads
Back to top button