Buletin

POLIS BURU PEMANDU ISWARA CURI LANGGAR MPV DI BANDAR SUNWAY

Seorang lelaki warga tempatan kini diburu selepas melanggar kereta peronda polis (MPV) Honda Civic sebanyak dua kali di Jalan PJS 7/19, Bandar Sunway semalam.

Dalam kejadian kira-kira 7.25 petang itu, suspek memandu sebuah kereta jenis Proton Iswara yang pernah dilaporkan hilang pada 21 Jun lalu di sekitar Batu 9, Cheras.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, kejadian berlaku selepas anggota MPV ingin melakukan pemeriksaan ke atas kenderaan dinaiki suspek yang berada dalam keadaan mencurigakan.

“Apabila pemeriksaan cuba dibuat, suspek telah mengundurkan kereta dengan laju sehingga melanggar kenderaan MPV yang dinaiki dua anggota berkenaan.

“Suspek yang menaiki kenderaan itu telah melarikan sebelum kenderaan suspek berjaya disekat di jalan susur keluar Lebuh Raya Baru Pantai (NPE),” katanya dalam satu kenyataan.

Abd Khalid memberitahu, suspek kemudian bertindak mengundurkan kenderaan dan melanggar kenderaan MPV dari Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk kali kedua.

Pelanggaran itu menyebabkan kenderaan MPV rosak teruk di bahagian hadapan dan tidak dapat bergerak. Suspek turut berjaya melarikan diri.

“Hebahan telah dibuat untuk menggerakkan semua elemen yang berada di lapangan untuk mengesan dan menangkap suspek. Anggota terlibat dalam kejadian tidak mengalami sebarang kecederaan,” jelasnya.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh, Seksyen 186 kanun yang sama kerana menghalang penjawat awam, Seksyen 188 Kanun Keseksaan kerana mengingkari perintah oleh penjawat awam dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan kerana memandu secara melulu. – K! ONLINE

Google ads
Back to top button