Buletin

POLIS CADANG WARGA EMAS HENDAK PERBAHARUI LESEN MEMANDU JALANI PEMERIKSAAN DOKTOR

Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman, Datuk Azisman Alias mengesyorkan warga emas yang ingin memperbaharui lesen memandu dikenakan syarat khas. Cadangan memperkenalkan syarat khas itu adalah untuk  menjaga keselamatan golongan tersebut dan pengguna jalan raya yang lain.

Ini kerana keadaan tahap kesihatan yang dihadapi warga emas seperti ‘alzheimer’ dan masalah mata menjadi antara punca berlakunya kemalangan.

“Kita lihat kes-kes memandu melawan arus sudah menjadi seperti satu trend pula, ada juga kes melibatkan orang tua berusia 60 dan 70 tahun ke atas. Ia secara tidak langsung boleh menyebabkan kemalangan di jalan raya

“Warga emas berusia 70 tahun ke atas ini ada yang mempunyai penyakit mudah lupa atau nyanyuk. Kebanyakan kes lawan arus melibatkan golongan ini disebabkan salah masuk jalan. Ada kes sebelum ini warga emas memandu kenderaan memasuki lorong motosikal,” katanya pada sidang media khas, hari ini.

Syarat seperti warga emas menjalani pemeriksaan doktor dan mendapat surat pengesahan bahawa mereka sihat untuk memandu adalah bagi menjaga keselamatan diri dan pengguna lain.

“Sepatutnya golongan warga emas hanya dibenarkan memperbaharui lesen dengan syarat mempunyai pengesahan daripada doktor yang menyatakan individu berkenaan mampu untuk memandu dari segi mental dan fizikal.

“Tempoh pembaharuan lesen buat warga emas juga seharusnya dihadkan untuk jangka masa pendek supaya pihak berkenaan dapat membuat penilaian terhadap kemampuan golongan itu untuk berada di jalan raya.

“Sekarang, lesen memandu boleh diperbaharui sehingga tempoh lima tahun. Jika warga emas usia 70 tahun memperbaharui LKM bagi tempoh lima tahun, tidak sesuai sama sekali kerana faktor usia,” katanya yang mencadangkan pembaharuan lesen memandu warga emas dihadkan hanya untuk tempoh setahun dengan syarat tertentu.

Beliau turut mencadangkan kerajaan mengeluarkan satu dasar untuk motosikal berkuasa rendah agar tidak mengeluarkan bunyi bising.

Ini kerana rata-rata motosikal sedemikian diubahsuai sehingga mengeluarkan bunyi bingit dan tidak mengikut spesifikasi ditetapkan. – Berita Harian

Google ads
Back to top button