Artikel Pilihan

PORSCHE 911 HYBRID, MACAM TEKNOLOGI F1 WOI.

Walaupun Porsche berhasrat untuk menggunakan teknologi hibrid pada supercar 911 milik mereka, namun idea yang diperkenalkan pada tahun 2018 ini tidak berani dijual kepada umum atas beberapa sebab.

Pertama pada tahun 2019 dunia menyaksikan kebangkitan kereta elektrik dan kedua 911 adalah kereta “purist” untuk pemandu. Namun hari ini Porsche 911 T-Hybrid menjadi realiti, berupaya menjana kuasa yang baik, masih lagi ringan dan memenuhi segala undang-undang pelepasan asap di Eropah.

Varian hibrid ini diperkenalkan melalui pengenalan model 911 Carrera GTS 2025. Bagi memenuhi regulasi pelepasan asap, Porsche mengekalkan nisbah udara kepada petrol pada 14.7:1 dari keadaan melahu (idle) sehingga pada redline RPM.

Keadaan ini membantu pelepasan asap mengikut undang-undang terbaru di Eropah. Namun pada masa sama, sistem hibrid ini menjana 64hp lebih banyak berbanding model lama

Sistem ini menggunakan bateri sebesar 1.9kWh dengan sistem 400 volt dipasang pada ruang depan dengan hanya seberat 26kg sahaja, hampir sama dengan bateri 12 volt biasa. Bateri 12 volt pula dipasang di bahagian belakang kusyen untuk agihan berat yang bagus.

Bateri tadi akan membekalkan kuasa pada satu motor elektrik yang yang “ditanam” dalam kotak gear 8 kelajuan klac berkembar bagi membekalkan kuasa sehingga 54 kuasa kuda dan 149Nm tork. Motor ini bertindak membekalkan kuasa untuk pecutan segera namun tidak boleh menggerakkan 911 dengan hanya menggunakan bateri, menjadikan varian ini dikenali sebagai T-Hybrid

Sistem turbo pula dipasang dengan satu lagi motor elektrik 14.7 kuasa kuda pada syaf antara turbin dan kompressor. Ia bertindak memutarkan sistem turbo dengan pantas bagi menghapuskan isu turbolag dan sekiranya keadaan adalah ideal, motor tadi bertindak sebagai generator dengan mengecaj bateri sistem hibrid

Ini adalah kali pertama model 911 menggunakan sistem turbo tunggal dalam masa 30 tahun. Enjin Boxer pula menggunakan enjin kod 9A3 iaitu varian kepada 9A, dengan diameter silinder dinaikkan kepada 97mm dan lejang dinaikkan kepada 81mm menjadikan saiz enjin ini meningkat kepada 3600cc.

Sistem hibrid juga menyebabkan tali sawat tidak lagi diperlukan, jadi penyaman udara dan sistem stering menggunakan motor elektrik. Keadaan ini menyebabkan ketinggian enjin menurun 110mm bagi membolehkan DC-DC inverter dan intercooler duduk di atas enjin

Sistem pemasaan enjin menggunakan sistem Porsche Variocam sama seperti varian 4000cc, tepet finger follower dan menjana sehingga 478 kuasa kuda serta 569Nm tork. Namun secara keseluruhan sistem hibrid ini menjana 532 kuasa kuda dan 609Nm tork.

Varian ini hanya ditawarkan dalam transmisi automatik sahaja disebabkan sistem hibrid namun dengan pilihan pacuan 2 roda ataupun pacuan semua roda bergantung pada pasaran. Namun sistem hibrid ini menyebabkan berat 911 meningkat sebanyak 46kg menjadikan berat keseluruhan ialah 1603kg. Namun ia juga memiliki sistem stering roda belakang dan juga tayar belakang yang lebih lebar 10mm

Google ads
Back to top button