Buletin

PROTON ADA NILAI JENAMA YANG TINGGI – RYAN

Walaupun berhadapan dengan pelbagai rintangan, Ryan Lai, 35 dari Nilai, Negeri Sembilan tetap mempunyai keyakinan bahawa PROTON akan kembali berada di atas.

Ryan meninggalkan jawatannya sebagai jurutera bersama syarikat teknologi terkemuka Korea untuk menyertai perniagaan keluarganya, yang merupakan pusat servis PROTON di bawah EON pada tahun 2004.

“Perniagaan agak merudum pada masa itu, kami hanya membaiki kira-kira 60 buah kereta sebulan dan ayah saya hampir berputus asa dan mahu menjual pusat servisnya,” katanya di Pusat Kecemerlangan PROTON.

Ryan menghabiskan masa mengenal pasti kelemahan pusat servis mereka, sebelum memutuskan untuk berhenti kerja pada tahun 2007 dan menumpukan perhatian untuk menaikkan perniagaan tersebut.

Dia dapati tidak ada apa-apa masalah dengan jenama PROTON, cuma pusat perkhidmatan yang memerlukan perubahan dari dalam. Apa yang Ryan lakukan adalah memperkenalkan dasar baru berkaitan sumber manusia dan pentadbiran.

Pihaknya memastikan juruteknik mematuhi segala dasar yang telah ditetapkan. Disiplin dan kualiti kerja menjadi undang-undang baru.

Pada ketika itu juga, Ryan mendapati pusat servisnya tidak pernah memenuhi tuntutan jaminan. Ia menyebabkan mereka hilang peluang untuk menawarkan khidmat terbaik kepada pelanggan. Dia kemudian mempelajari proses tuntutan jaminan dan mula menawarkan perkhidmatan tersebut.

Pusat Servis LHM One Stop Car yang beroperasi di Nilai kini mempunyai seramai 65 pekerja, 10 daripadanya hanya bertugas di bilik pameran.

Tahun lalu, pusat servis tersebut telah dinaik taraf daripada 2S kepada 4S. Secara purata, ia kini mampu membaiki sebanyak 1,300 kereta dan turut menerima kunjungan dari pemilik Proton yang berada di Nilai, Sepang, KLIA, Cyberjaya dan Putraya.

Baru-baru ini, Ryan dijemput oleh PROTON untuk melawat pengedar Geely dan Institut Penyelidikan Geely di Shanghai.

“Saya melawat pengedar Geely di sana. Apa yang saya lihat betul-betul membuka mata saya. Mereka melayan pelanggan dengan begitu baik. Walaupun Geely bukanlah jenama premium, tetapi perkhidmatan yang ditawarkan sama seperti itu (jenama kereta premium),” katanya.

Lawatan ke fasiliti Geely sememangnya pengalaman yang tidak dapat dibeli dengan wang. Ryan akan mengambil beberapa idea dari situ dan melaksanakannya di pusat perkhidmatannya.

Dalam lawatan sama, Ryan berpeluang memandu uji SUV Geely Boyue, model yang bakal diperkenalkan oleh PROTON di Malaysia tahun hadapan.

Dia mengakui bahawa Boyue memilki penampilan dan saiz yang menarik. Kualiti dalamannya juga mengagumkan. Papan pemuka, kemasan pintu, tempat duduk kulit serta kelengkapan pada Boyue mengingatkan Ryan kepada SUV mewah Jerman yang dimiliki oleh abangnya.

Ryan berpendapat keputusan PROTON untuk memberikan tumpuan lebih dalam pemasaran digital adalah terbaik bagi memikat pasaran belia.

“PROTON sedang menuju ke arah yang betul. Saya akan membelanjakan wang serta mempertimbangkan untuk meningkatkan pelaburan demi jenama ini,” katanya penuh semangat.

Google ads
Back to top button