Buletin

PROTON RAI PENGELUARAN ENJIN 1.5 TGDI KE 10,000 UNIT DI KILANG TANJUNG MALIM

PROTON baru-baru ini meraikan pengeluaran enjin 1.5 TGDI ke-10,000 unit di saluran pemasangan enjin Tanjung Malim baharunya pada 1 Disember. Pencapaian ini hanya mengambil masa selama tujuh bulan selepas unit pertama dikeluarkan pada April lalu.

Hasil penghantaran 11,316 unit pada bulan November, PROTON juga telah mencapai jumlah jualan terbaiknya sejak 2013. Dengan 126,682 unit setakat ini, syarikat berada di landasan untuk memperoleh tahun jualan terbaiknya dalam tempoh sembilan tahun.

Kilang enjin 1.5 TGDI PROTON adalah sebahagian daripada komitmen syarikat untuk melabur RM1.8 bilion bagi menaik taraf kemudahannya di Tanjung Malim. Kemuncak perjalanan yang bermula pada 2019 yang ditempuhi dalam keadaan yang mencabar. 

Setelah membuat keputusan untuk membina saluran pemasangan baharu di Tanjung Malim, pembinaan dan penghantaran komponen telah ditangguhkan berikutan permulaan pandemik Covid-19. Namun begitu, keputusan telah dibuat untuk menuju ke hadapan sementara negara menjalani perintah kawalan pergerakan. 

Pelan pengembangan operasi itu selaras dengan teras strategik pertama program DRB-HICOM Automotive High Technology Valley (AHTV) yang bertujuan memaksimumkan aktiviti pembuatan di rantau ini.

Projek telah dijayakan oleh sepasukan jurutera PROTON yang menempatkan diri di Tanjung Malim untuk memulakan kerja pemasangan. Bekerjasama melalui mesyuarat maya dengan pasukan daripada pembekal peralatan dan Geely di China, mereka bersusah payah membuka kotak komponen, memetakan barisan pengeluaran dan memulakan kerja pemasangan awal.

“Barisan enjin baharu PROTON adalah bukti ketabahan dan keazaman pekerja kami untuk mengatasi halangan dan mencapai matlamat. Ia adalah salah satu saluran pemasangan enjin paling maju di Malaysia dengan tahap automasi yang tinggi, persekitaran suhu terkawal dan pelbagai ujian untuk memastikan kualiti pengeluarannya. 

“Pada 2023 kami menyasarkan pengeluaran 60,000 enjin yang akan digunakan oleh beberapa model Proton,” kata Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Dr Li Chunrong.

GALERI

Google ads
Back to top button