Buletin

PROTON X50 2025 RASMI DILANCARKAN – JANA 181PS, HARGA BERMULA RM89K

PROTON secara rasmi melancarkan X50 2025, dengan pelbagai peningkatan ketara dari segi gaya, kemudahan, keselamatan, dan prestasi.

Model popular dalam segmen SUV segmen-B ini kini ditawarkan dalam tiga pilihan varian:

  • Executive
  • Premium
  • Flagship

Model facelift ini tampil dengan wajah baharu yang lebih moden, menampilkan rekaan gril dan bampar yang dikemas kini, spoiler belakang dengan sentuhan sporty, rim rekaan baharu serta skema warna dwi-tona untuk menyerlahkan gaya urban.

Warna baharu Teal Bayou Green turut diperkenalkan, menggantikan pilihan Ocean Blue sebelum ini, diambil terus dari palet Proton S70.

Masuk ke dalam, suasana kabin kini lebih mewah dan canggih. Skrin infotainmen terapung bersaiz 14.6-inci mendominasi papan pemuka dan menyokong sambungan Android Auto serta Apple CarPlay.

Turut disertakan sistem pengecaman suara dalam Bahasa Melayu, pencahayaan ambien 72 warna dengan mod ritma, konsol tengah ‘terapung’ yang lebih kemas, dan tombol gear jenis ‘column shifter’.

X50 2025 kini menerima sistem bantuan pemandu ADAS Tahap 2 yang dipertingkat, termasuk radar sisi belakang (RSRS), fungsi parkir automatik, kamera pandangan sekeliling HD 360° dengan paparan telus 180°, dan penarafan keselamatan ASEAN NCAP lima bintang.

Enam beg udara, pemantauan titik buta, amaran lintasan trafik, serta amaran pelanggaran dan pintu terbuka turut disediakan sebagai ciri standard.

Di bawah bonet, Proton X50 facelift dikuasakan enjin baharu 1.5 liter turbo i-GT (1.5 TD), menghasilkan 181PS dan 290Nm tork.

Dipadankan dengan transmisi dwi-klac 7-kelajuan, ia mampu memecut dari 0 ke 100 km/j dalam masa hanya 7.6 saat.

Tambahan pula, peningkatan kecekapan bahan api sebanyak 4.7 peratus menjadikan ia lebih menjimatkan tanpa mengorbankan prestasi.

Pengguna juga boleh menikmati fungsi kawalan jarak jauh menerusi aplikasi PROTON Link 2.0 – membolehkan enjin dihidupkan, suhu pendingin hawa dilaraskan, dan status kenderaan disemak terus dari telefon pintar.

Perincian Varian:

Executive

  • Rim aloi 17-inci
  • Enam beg udara
  • Sistem keselamatan asas dan ADAS
  • Lampu LED penuh

 Premium

  • Rim aloi dua tona 18-inci
  • Tempat duduk pemandu larasan kuasa
  • Kemasan kulit tiruan
  • Kamera 360 darjah dengan fungsi “tembus pandang”
  • Pintu belakang kuasa
  • Pelbagai ciri ADAS tambahan termasuk AEB, kawalan jelajah adaptif, dan pengecaman papan tanda

 Flagship

  • Spoiler belakang dan bumbung berwarna hitam
  • Kabin bertema hitam-merah
  • Bumbung kaca panoramik
  • Pengecas tanpa wayar Qi
  • Sistem Park Assist automatik

Untuk harga pula, perincian adalah seperti berikut:

  • Executive: RM89,800
  • Premium: RM101,800
  • Flagship: RM113,300

GALERI:

Google ads
Back to top button