Artikel Pilihan

PUNCA- PUNCA ENGINE MENGALAMI MASALAH KNOCKING

Sekali lagi penulis mengambil peluang untuk membahaskan isu teknikal dalam proses pembakaran enjin gara-gara seorang mahagaru bercerita berkenaan RON dan kaitannya dengan knocking atau fenomena ketukan. Fenomena ketukan ini berlaku apabila campuran udara dan petrol meletup bukan berdasarkan arahan ECU yang dinyalakan dengan palam pencucuh, tapi disebabkan beberapa faktor luar yang lain.

Fenomena ini telah dikaji secara mendalam oleh jurutera sewaktu pembangunan enjin. Bagi mengatasi masalah ini beberapa kaedah telah dibuat oleh pengeluar bagi memastikan fenomena ini diminimakan terutama dengan kawalan dan kaedah sejukan enjin. Toyota sebagai contohnya jarang sekali menggunakan kaedah pendesak turbo untuk enjin mereka disebabkan masalah ketukan

Artikel kali ini akan merungkai punca masalah ketukan dan langkah yang telah diambil oleh jurutera bagi mengatasi masalah ini. Antara faktor-faktor yang menyebabkan masalah ketukan ialah:

Nisbah Mampatan

Ya kebanyakan enjin berkuasa tinggi tanpa turbo atau dikenali Normal Aspirated dibuat dengan nisbah mampatan yang tinggi agar ia dapat mengekstrak lebih banyak kuasa daripada enjin. Lebih tinggi nisbah mampatan enjin, lebih cekap dan efisyen enjin tersebut. Buat masa sekarang penulis lebih suka merujuk enjin yang memiliki nisbah mampatan melebihi 10:1 adalah enjin dengan nisbah mampatan yang tinggi

Sebagai contoh jika setiap kali injap kemasukan dibuka, sebanyak 375cc campuran udara dan petrol disedut. Campuran ini akan dimampatkan sehingga piston berada di kedudukan Top Dead Center ataupun berada di kedudukan paling atas sekali sehingga isipadu ini menjadi 37.5cc. Maka enjin ini memiliki nisbah mampatan 10:1. Semakin tinggi nisbah mampatan semakin mudah fenomena ketukan berlaku

Sebagai contohm enjin Myvi tahun 2006 1500cc dengan kod 3SZ-VE memiliki nisbah mampatan 10:1, manakala enjin Myvi 2019 1500cc dengan kod 2NR-VE memilki nisbah mampatan 11.5:1

Faktor Suhu

Jika enjin mengalami masalah ketukan, enjin secara automatik akan melaraskan semula pemasaan dan kesannya RPM enjin gagal meligat dengan laju dan anda terasa enjin lemau. Adakah anda perasan yang masalah ini sering berlaku jika anda memandu pada hari siang yang panas terutama ketika mendaki bukit?

Ya salah satu punca lain masalah ketukan ialah suhu daripada persekitaran enjin beroperasi, suhu campuran udara dan petrol di dalam silinder dan juga suhu enjin itu sendiri. Semakin tinggi suhu, semakin mudah enjin untuk mengalami masalah ketukan. Bagi enjin turbo, suhu yang tinggi terhasil apabila udara dimampatkan dalam tekanan tinggi selepas melalui turbin akan memudahkan masalah ketukan berlaku

Mana-mana bentuk atau permukaan tajam di dalam enjin akan bertindak sebagai hotspots yang akan menjadi punca pada masalah ketukan

Penggunaan RON rendah dalam enjin dengan nisbah mampatan tinggi

Menggunakan RON bernilai rendah pada enjin yang mempunyai nisbah mampatan yang tinggi juga akan menyebabkan masalah ketukan akan berlaku. Apabila anda menggunakan petrol dengan RON yang rendah pada enjin anda, ECU akan melaraskan semula pemasaan nyalaan palam pencucuh bagi mengelakkan masalah ketukan. Hasilnya enjin anda akan beroperasi dalam keadaan kurang efisyen dan menghasilkan kuasa yang kurang berbanding dengan RON tinggi

Deposit Karbon

Enjin yang sudah beroperasi selama beberapa tahun akan terdedah pada proses pembentukan karbon di dalam silinder, di atas permukaan silinder, di sekitar injap kemasukan dan juga di luar injap kemasukan. Karbon ni jahat tuan tuan, macam komunis. Karbon ini terhasil akibat proses pembakaran yang kurang sempurna di dalam silinder ataupun minyak enjin yang meruap dan gagal dibakar di dalam kebuk pembakaran

Apabila karbon ini wujud di dalam silinder, ia akan menjadi penebat haba yang sangat bagus dan meningkatkan suhu enjin di luar keadaan yang optimal. Malah dalam sesetengah keadaan, deposit karbon ini yang akan bertindak sebagai hotspot yang menyalakan campuran udara dan petrol sehingga mewujudkan masalah ketukan.

Guna Palam Pencucuh yang salah

Menggunakan palam pencucuh yang salah spesifikasi boleh menyebabkan masalah ketukan. Setiap palam pencucuh memiliki heat range yang tersendiri samaada Hot ataupun Cold. Rekabentuk Cold ataupun Hot ini dibuat agar palam pencucuh memiliki 2 rekaan yang berbeza samaada mampu memindahkan haba ke bahagian enjin dengan pantas ataupun lambat

Sebagai contoh enjin Honda City L15A7 i-VTEC 1500cc yang menghasilkan 118 kuasa kuda menggunakan palam pencucuh iridium bagi menyingkirkan haba dengan cepat. Menggunakan palam pencucuh yang salah akan menyebabkan masalah ketukan berlaku pada enjin

Tekanan Gas Ekzos yang meningkat

Berbalik pada masalah deposit karbon tadi, masalah ini juga boleh terjadi di injap ekzos, sistem ekzos sehinggalah ke paip ekzos. Gas ekzos yang panas tadi akan cuba meninggalkan silinder enjin tapi dihalang oleh deposit karbon tadi sehingga ia gagal meninggalkan silinder. Gas yang panas ini akan meningkatkan suhu silinder sehingga menyebabkan masalah ketukan.

Kerosakan enjin

Sebarang kerosakan pada komponen enjin seperti Knock Sensor, Injap EGR, injap positif Crankcase, komponen vakum, solenoid, sistem aktuator, juga akan menyebabkan masalah ketukan. Sebarang kerosakan akan menyebabkan enjin beroperasi di luar julat yang efisyen dan seterusnya akan menyebabkan masalah ketukan. Jadi pastikan anda peka dengan perangai enjin dan sebarang perubahan yang disebabkan oleh enjin

Google ads
Back to top button