Buletin

PUSAT 3S ISUZU BERWAJAH BAHARU DIBUKA DI JINJANG PERMAI KUALA LUMPUR

Isuzu Malaysia baru-baru ini memperkenalkan cawangan yang menampilkan rekaan baru dengan pembukaan rasmi Autoexec Corporation 3S Centre di Kuala Lumpur.

Dengan imej yang lebih menonjol dan menara logo tersendiri, rekaan cawangan baru itu menawarkan sebuah suasana yang lebih unik untuk apa saja keperluan berkaitan Isuzu kepada pelanggan.

Ketua Pegawai Eksekutif Isuzu Malaysia, Shunsuke Okazoe berkata, rekaan baru itu bertujuan untuk menyerlahkan lagi kehadiran Isuzu dengan menawarkan persekitaran yang lebih hangat kepada semua pelanggan dan pengunjung.

“Cawangan ini menampilkan imej jenama yang kuat untuk mencerminkan perubahan wajah depan perniagaan Isuzu di sini. Elemen rekaan moden dan kemudahan yang dipertingkatkan bagi memastikan pelanggan bukan sekadar membeli barisan produk yang bagus, tetapi turut menerima layanan jualan dan lepas jualan yang cemerlang di bawah satu bumbung,” kata Okazoe.

Pusat 3S terbaru Autoexec Corporation terletak di atas tanah berkeluasan 1,400 meter persegi di Jalan Jinjang Permai. Ia menawarkan barisan lengkap produk serta servis Isuzu, dari trak pikap Isuzu D-Max hinggalah kepada lori tugas ringan, medium, berat dan penggerak utama.

Pusat 3S itu menyediakan ruang pameran dan servis luas yang boleh menampung sehingga empat kenderaan tugas ringan serta dua trak tugasan medium dalam satu-satu masa. Pelanggan yang membawa kenderaan mereka untuk pemeriksaan lepas jualan boleh menikmati hidangan ringan yang disediakan di ruang menunggu yang selesa.

Cawangan Isuzu selepas ini akan dibezakan dengan penggunaan logo Isuzu baru di depan bangunan serta di menara logo khas di gerbang masuk premis. Pusat 3S yang menawarkan penjagaan lepas jualan untuk trak juga menampilkan ruang yang luas untuk parkir serta urusan keluar masuk.

Autoexec Corporation di Kuala Lumpur akan menjadi cawangan pertama menampilkan wajah baru ini. Langkah sama akan diikuti di seluruh negara selepas ini. Peralihan dan perubahan itu akan mengambil masa hampir dua tahun untuk diselesaikan.

GALERI

Google ads
Back to top button