Buletin

FORD TAWAR VARIAN RANGER XL SINGLE CAB. SKRIN SENTUH 10.1 INCI, BERMULA RM98K

Sime Darby Auto Connexion (SDAC), pengedar tunggal kenderaan Ford di Malaysia mengumumkan penambahan varian untuk Ranger generasi baharu iaitu 2.0 liter XL 4×4 Single Cab.

Sama seperti semua barisan Ranger, varian XL Single Cab menerima kelebihan dengan jarak antara roda 50mm lebih panjang untuk memberikan lebih kestabilan baik ketika di atas jalan atau off-road.

Ranger XL Single Cab menawarkan ruang kargo yang paling besar dalam pasaran ketika ini. Dengan ukuran 2,332mm panjang, 1,420mm lebar dan 540mm tinggi, ruang kargo di belakang membolehkan pelanggan untuk membawa, memuatkan lebih banyak barangan seperti plywood atau palet bersaiz penuh. Jarak kelegaan tanah juga lebih tinggi dengan 230mm.

Selain itu, terdapat enam cangkuk kargo yang diletakkan pada tiub landasan logam bagi memudahkan pengguna mengikat barangan dengan selamat.

Kelebihan lain untuk XL Single Cab ialah pintu ruangan kargo boleh digunakan sebagai pelantar kerja dengan pembaris dan poket cengkam untuk mengukur, memegang selain memotong bahan binaan.

Ranger XL Single Cab tampil ringkas dengan rim aloi 16-inci, gril depan standard, bampar depan warna badan dengan bampar belakang berwarna hitam, lampu utama halogen, lampu kabus belakang, cangkuk penyelamat di depan, lampu nyalaan siang dan lampu brek LED di belakang.

Terdapat empat pilihan warna iaitu Absolute Black, Aluminium Metallic, Arctic White dan Meteor Grey.

Walaupun merupakan varian paling asas, Ranger XL Single Cab didatangkan dengan teknologi yang setara dengan barisan varian lebih mahal.  

Ia memiliki skrin sentuh 10.1-inci yang pertama dalam kelasnya serta sistem hiburan, komunikasi Ford SYNC 4A, serta ketersambungan Apple CarPlay dan Android Auto tanpa wayar.

Panel instrumen lapan-inci digital dipasang untuk menggantikan sistem analog, membolehkan lebih banyak maklumat dipaparkan untuk pemandu. Kelengkapan lain termasuklah dua slot USB dan satu soket kuasa 12-volt.

Ciri keselamatan terdiri daripada dua beg udara, brek ABS, EBD, kawalan cengkaman, kawalan menuruni curam, bantuan mula mendaki, penghindaran daripada terbalik dan kawalan olengan bahagian belakang.

Ranger XL dikuasakan oleh enjin 2.0 liter Single Turbo diesel yang menghasilkan 167hp pada 3,500rpm dan tork 405Nm pada 1,750-2,500rpm. Ia digandingkan dengan transmisi manual enam kelajuan, selain menampilkan set gear baharu untuk peralihan lebih lancar.

Ranger XL Single Cab hadir dengan jaminan pengeluar selama lima tahun atau 160,000km (mana-mana tiba dahulu). Pelanggan boleh juga memilih untuk melanjutkan tempoh jaminan sehingga tujuh tahun.

Ranger XL Single Cab dijual pada harga RM98,888 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan untuk Semenanjung Malaysia) dan RM104,388 (tidak termasuk insurans dan cukai jalan) bagi Sabah dan Sarawak.

Pelanggan yang membeli Ranger XL Single Cab juga secara automatik akan menjadi sebahagian daripada Ford Inner Circle di Malaysia. Ia merupakan satu komuniti untuk meneroka kemungkinan baru, menyumbang semula kepada masyarakat atau keluar beriadah bersama dalam Ford Ranger Getaways bersama rakan atau keluarga.

GALERI:

Google ads
Back to top button