
RALLY OF ASAHAN MINGGU HADAPAN. MAGHI LER KITER BERRRR!
Susulan daripada kejayaan penganjuran pertama kali Millenium Iconic Rally Championship (MIRC) pada bulan lalu di Rally of Pontian, kini sudah tiba masanya penganjuran perlumbaan siri kedua MIRC musim ini di Rally of Asahan yang akan diadakan pada 21 – 22 Disember 2024 ini.
Penganjuran pertama kali MIRC Rally of Pontian ketika itu hanya membabitkan sejumlah kecil penyertaan tetapi turut diserikan dengan penyertaan pasukan Purnama Rally Team yang turut membabitkan pemandu regular Hashrul dan juga Ikhsan serta penampilan istimewa pemandu lejen, Karamjit Singh yang memandu Proton Satria 1.8.

Walau pun berlaku sedikit kekecewaan apabila jentera yang dipandu oleh Karamjit Singh mengalami masalah namun ianya berjaya ditebus oleh Ikhsan untuk mencipta kejutan sebagai pemenang di Rally of Pontian.
Nasib malang turut menimpa seorang lagi otai rali negara, Haji Sutan Mustaffa apabila turut menghadapi dengan masalah dengan jentera Subaru Impreza drive shaft tercabut pada hari pertama saingan serta masalah brek pada saingan hari kedua sebelah pagi dan juga masalah timing belt putus ketika untuk memulakan SS terakhir.
Untuk Rally of Asahan ini pastinya Haji Sutan mahukan kejayaan semula setelah kecewa ketika aksi di Pontian. Begitu juga dengan Karamjit Singh yang khabarnya akan kembali beraksi bersama pasukan MRU untuk memandu jentera Subaru Impreza.

Dan khabarnya juga pasukan MRU akan menurunkan barisan pemandu dan jentera yang handal untuk Rally of Asahan. Khabarnya akan ada sebuah jentera Rally2 dan pemandu dari Indonesia untuk turun beraksi. Juga khabarnya terdapat pemandu dari India juga akan turut beraksi bersama pasukan MRU.
Khabarnya juga seorang lagi pemandu lejen Saladin Mazlan juga akan bersama Mini Deus dan juga anak beliau Ibrahim Saladin akan turun beraksi di Melaka. Menarik bukan dapat lihat sang lejen beraksi.

Rellik Niezam juga akan turut beraksi bersama Proton Iriz Turbo beliau buat kali kedua setelah membuat debut sewaktu Festival of Speed tempohari. Lain – lain nama regular seperti King of Myvi juga akan turun bersama pemandu handalan Ezham, Dini Nazmie dengan Proton Satria. Juga akan membuat debut jentera baharu untuk kali ini adalah Syakirin Razaki yang akan memandu Subaru Impreza. Mitch Chong yang turut membuat debut rali gravel tempohari juga akan kembali bersama Proton Satria.
Untuk Rally of Asahan ini, ianya akan berlokasikan di Felda Tun Ghaffar Bukit Senggeh dan juga Nyalas Estate Kg Gubah, Asahan Melaka yang akan membabitkan 11 SS perlumbaan dan turut mendapat sokongan padu daripada Adun Asahan YB Datuk Fairul Nizam Bin Roslan yang juga merupakan Penaung untuk Rally of Asahan.
Dengan cuaca yang sedikit tidak menentu sekarang ini kadang hujan kadang panas, aksi terakhir penutup acara rali musim ini pastinya akan dinantikan.
Peminat rali sekitar Melaka, aa maghi ler berrrr!
BACA : PERLUMBAAN MIRC RALLY OF PONTIAN HUJUNG MINGGU INI
BACA : MNRC RALLY CHAMPIONSHIP RALLY 2022 DI MARAN HUJUNG MINGGU INI