" "
Pandu Uji

MG4 XPOWER, HANYA BMW M3 / MERCEDES-AMG A45 BOLEH LAWAN

MG atau Morris Garage adalah jenama yang asal usulnya boleh dikesan pada tahun 1920an di Oxford. Namun persaingan dalam dunia automotif menyaksikan jenama MG bertukar pemilik beberapa kali antara British Motor Corporation, British Leyland Motor Corporation, MG Rover Group sebelum dibeli oleh Nanjing Automobile Group

Paling menarik ialah jenama Nanjing ini akhirnya dikuasai SAIC Motor bermula tahun 2007. Tapi apa yang bagusnya ialah SAIC adalah sebuah entiti yang tidak duduk diam dan mula menghasilkan pelbagai model dengan menggunakan teknologi dan kepakaran mereka namun masih mengekalkan jenama dan logo MG

Sebagai buktinya ialah MG4 Xpower yang menggunakan platform papan luncur Modular Scalable Platform yang dibangunkan sepenuhnya oleh SAIC. Pada badan MG4 Xpower, perkataan SAIC hanya boleh dikesan pada lampu depan yang tertera SAIC Vision Full LED System

Selain daripada itu, langsung tidak tertera perkataan SAIC dan kereta elektrik ini mengekalkan jenama MG pada jeriji depan. Rekaan MG4 ini dihasilkan dengan kerjasama SAIC Motor Design Center Shanghai, Advanced Design Studio dan Royal College of Art London bagi menghasilkan sebuah kereta elektrik untuk pasaran global

Berdasarkan sejarah MG semenjak 100 tahun lepas, jururekabentuk akhirnya bersetuju dengan konsep rekaan sporti, tajam dan berani pada MG4 yang menghasilkan rekaan lampu depan yang tajam dan garang. Muka depan MG4 juga datang dengan rekaan seolah-olah menggunakan huruf X.

Rekaan sisi dilayangkan dengan penggunaan rim bersaiz 18 inci dan juga penutup angkup brek yang berwarna kuning terang. Berbeza dengan jenama lain yang menggunakan rekaan SUV kompak, MG4 menggunakan rekaan hatchback yang sporti

Rekaan belakang pula sama seperti rekaan depan, dengan rekaan lampu belakang mendominasi tema sporti serta spoiler yang terbelah di bahagian tengah direka cukup agresif. Namun antara varian Xpower dan varian biasa yang lain, tidak banyak perbezaan yang ada.

Secara keseluruhan, MG4 datang dengan rekaan yang cukup aerodinamik dengan pekali kadar geseran berjaya direndahkan pada 0.279 sahaja. Malah jeriji depan juga ditawarkan dengan teknologi Active Shutter Grille yang akan membuka dan menutup jeriji depan bagi tujuan penyejukan atau kecekapan aerodinamik

Dari segi platform, varian Xpower datang dengan platform yang ditala khas untuk pengendalian yang dinamik dengan agihan berat pada kadar 50:50 di gandar depan dan juga belakang. Semua varian akan menggunakan pacuan roda belakang dan hanya varian Xpower sahaja yang menggunakan rekaan 2 motor elektrik

Gandingan 2 motor elektrik ini menjana sehingga 435PS dan juga 600Nm tork bagi membenarkan pecutan 0-100km/jam dibuat dalam masa 3.8 saat sahaja. Angka ini adalah setara dengan BYD Seal Performance, BMW M3 Competition dan Mercedes-AMG A45S 4 Matic yang jauh lebih mahal

Namun kelajuan MG4 Xpower ini dihadkan pada 200km/jam menjadikan MG4 Xpower ini antara kereta kompak elektrik paling berkuasa dalam kelas. Bagi membezakan antara varian Xpower dengan varian lain, ia juga turut dibekalkan dengan brek cakera sebesar 345mm pada roda depan dan 340mm pada roda belakang, berupaya menghentikan MG4 Xpower dari 100km/h dalam jarak 33 meter

Bagi mengimbangi lebihan kuasa, varian Xpower juga diberikan beberapa kelebihan mekanikal lain seperti sistem suspensi yang 25% lebih keras, bar penstabil yang lebih tegar dan juga brek regeneratif yang lebih berkuasa bagi kawalan yang lebih bagus di selekoh

Untuk rekod, platform MG4 menggunakan bateri NMC sebesar 64kWh bagi membenarkan jarak pemanduan sehingga 385km mengikut standard WLTP. BAteri ini boleh dicaj dari 10% ke 80% dalam masa 26 minit sahaja. Bagi pengecasan AC, sistem 10% ke 100% mengambil masa 8.5 jam

Bagi bagi kemasan kabin pula, rekaan papan pemuka nampak terlalu ringkas dan dan biasa sahaja serta tidak mencerminkan kabin sebuah kereta sukan prestasi tinggi. Hanya corong penyaman udara, skrin multimedia 10.25 inci dan skrin paparan meter digital berada di depan

Bagi ciri fizikal, MG4 menawarkan konsol terapung di bahagian tengah dengan sistem gear rotari, pengecas telefon tanpa wayar dan brek parkir elektrik dipasang disini. malah bagi penulis, kesilapan terbesar MG4 ialah tidak memasang paddleshifter bagi varian Xpower

Bagi kusyen pula, rekaannya masih sama dengan rekaan kusyen varian yang biasa melainkan ia dibalut dengan fabrik seakan baldu dan juga disertakan dengan benang yang berwarna merah bagi memberikan imej yang lebih ranggi

Bagi ruang belakang, tiada corong penyaman udara dan juga perehat tangan disediakan melainkan terdapat satu poin USB jenis disediakan untuk pengecasan telefon. Kusyen belakang boleh dilipat dalam ratio 60:0 bagi membesarkan ruang kargo daripada 363 liter kepada 1177 liter

Berikut ialah pemerhatian penulis sepanjang memandu uji MG4 Xpower.

1. Dalam keadaan pemanduan terkawal serta halaju tidak melebihi 110km/h, Xpower memberikan bacaan penggunaan tenaga sekitar 7.24km bagi setiap 1kWh tenaga elektrik. Pengiraan atas kertas menunjukkan Xpower boleh dipandu sejauh 440km “JIKA” dipandu dengan berhemah

Namun dengan pecutan yang setara dengan kereta sport, maka agak sukar untuk menahan diri daripada menekan pedal secara rakus.

2. Bagi proses pengecasan, penulis sempat menggunakan sistem pengecasan 47kW yang disediakan di pusat membeli belah yang memerlukan masa sehingga sejam untuk menambah 35kWh pada bateri.

3. Rekaan sistem suspensi ialah menggunakan topang McPherson pada roda depan manakala roda belakang menggunakan sistem Multi-Link. Penggunaan tayar dari siri 45 langsung tidak memberi bantuan pada keselesaan penulis

Dengan sistem spring dan penyerap hentak ditala untuk keras, memandu MG4 Xpower di laluan yang beralun sememangnya akan meyebabkan penumpang di barisan kedua merungut. Sistem suspensi yang keras ini hanya sesuai untuk pemandu muda berjiwa kelajuan dan bukannya untuk pemandu yang sudah berkeluarga

4. Sistem Dynamic Cornering Control yang menggabungkan sistem torque vectoring dan juga sistem differential electronic menawarkan cengkaman yang bagus terutama ketika melalui selekoh dan memotong kenderaan di lebuh raya

5. Bagi penulis, sistem brek yang ditawarkan oleh MG adalah memuaskan. Melainkan anda melenjan MG4 Xpower secara mengkhinzir buta, maka berat dan momentum yang terhasil akan menyebabkan brek perlu bekerja keras sepanjang masa

6. Stering 2 jejari yang digunakan juga kelihatan seperti biasa sahaja. Bagi penulis, imej sporti stering adalah dengan 3 jejari stering serta lengkap dengan paddle shifter. Meter yang yang digunakan juga adalah kecil dan gagal menyerlahkan imej sporti MG4

7. Selepas memandu 2 jam, pada pandangan penulis rekaan dan kontur kusyen untuk pemandu depan adalah baik dalam menawarkan sokongan serta tidak menyebabkan belakang, bahu dan siku penulis menjadi lenguh

Kadar kebisingan dalam kabin adalah sekitar 58 dB sahaja, namun bunyi tayar kedengaran dengan agak jelas pada bahagian tempat duduk pemandu. Sistem multimedia menawarkan sambungan Apple Car Play dan Android Auto melalui kabel dan beroperasi dengan baik sepanjang pandu uji

Namun penggunaan sistem ini akan menyebabkan kesukaran untuk mengawal penyaman udara yang semua kawalannya ditanam di dalam skrin.

8. Dalam perlindungan keselamatan aktif, MG4 ditawarkan dengan sistem MG Pilot lengkap dengan AEB bagi pejalan kaki serta penunggang basikal, sistem pemanduan adaptif, lane departure warning, lane keep assist, amaran titik buta dan juga amaran trafik lintasan belakang

Bagi penulis, harga MG4 Xpower sekitar RM 159,629 adalah berbaloi jika anda mahukan sebuah kereta elektrik kompak berkuasa tinggi sebagai kenderaan harian anda. Jika anda perlukan pecutan yang sama dari sebuah kereta petrol, mungkin anda kena berbelanja lebih dengan membeli BMW M3 atau Mercedes-AMG A45 yang jauh lebih mahal daripada MG4 Xpower

Google ads
Back to top button