VOLVO AKAN HADKAN KELAJUAN KERETA BAHARU MEREKA SECARA DRASTIK
Mercedes-Benz, BMW dan beberapa pengeluar dari Eropah sudah lama menetapkan had kelajuan kereta keluaran mereka kepada 250km/j sahaja (sebenarnya itu pun sudah cukup laju) dan kini Volvo mengambil langkah yang sama atas nama keselamatan.
Sebagaimana yang dijanjikan mereka pada tahun lepas, Volvo kini menetapkan had kelajuan tertinggi 180km/j untuk semua kereta keluaran mereka. Jadi kalau anda membeli XC90 sekalipun, had kelajuannya masih lagi 180km/j.
Tak sampai 200km/j bukan? PokYa pernah dengar cikgu-cikgu sekolah sembang bawak Vios sampai 170km/j atas lebuhraya. Tu baru Vios, kalau Camry mahu 289km/j.
Kenapa Volvo ambil langkah seumpama ini? Sudah tentu sebagai pengeluar yang menerima Top Safety Pick menerusi model XC60 keluaran mereka mempunyai alas an yang tersendiri. Ia merupakan salah satu dari langkah untuk merealisasikan sasaran kematian sifar dalam kereta keluaran mereka.
Walaupun kelajuan 180km/j nampak rendah tapi ia sebenarnya sudah melebihi had kelajuan kebanyakan negara di dunia ini. Jika anda memandu di Autobahn sekalipun, terdapat bahagian tertentu lebuh raya tersebut yang masih mempunyai had kelajuan.
Selain daripada itu, mereka juga mengumumkan yang kereta baharu keluaran mereka akan dibekalkan dengan Care Key yang bertujuan untuk mengurangkan kemalangan akibat kelajuan.
Pemilik boleh menetapkan had kelajuan kereta mereka menggunakan Care Key tersebut. Jadi tak payah bimbang kalau anak anda merempit sewaktu meminjam kereta pada hujung minggu. Setkan je kelajuan pada 60km/j.
Volvo turut menegaskan yang beberapa ciri keselamatan walaupun sebaik mana ia direka tidak akan efektif jika kereta dipandu dengan terlalu laju. Bahkan mereka turut menyatakan yang ramai pemandu memang masih memandu terlalu laju walaupun keadaan trafik tidak membenarkan. Betul kan?
Setakat ini berdasarkan kajian mereka pemandu mabuk dan hilang fokus masih lagi menyumbang kepada kemalangan maut dan kini faktor kelajuan menjadi sasaran mereka.
Adakah pelanggan di sekitar Eropah contohnya Jerman akan bertukar kepada model lain seperti Mercedes-Benz dengan pengenalan ciri baharu Volvo ini? Sama-sama je kita nantikan. Tapi kena ingat waktu pengeluar Eropah lain menetapkan had kelajuan 250km/j dulu pun reaksi yang sama diterima tapi akhirnya mereka masih bertahan sampai kini.
Tapi setakat ini hanya Volvo yang mengambil langkah sebegini. Koenigsegg, satu lagi pengeluar kereta dari Sweden tidak akan mengambil jejak yang sama buat masa kini. Haram tak best kalau supercar pun ada had laju kan?