
LYNK & CO 03 CATAT REKOD DI NÜRBURGRING (HELLO MEGANE DAN TYPE R)
Cyan Racing yang sebelum ini dikenali dengan nama Polestar telah memecahkan dua rekod pusingan Nürburgring semasa program ujian model konsep Cyan Lynk & Co 03.
Kereta yang sedang di dalam pembangunan itu dipandu oleh Thed Björk, juara Perlumbaan Kereta Penumpang (WTCC) 2017 dan pelumba Piala Dunia Perlumbaan Kereta Penumpang (WTCR) untuk Lynk & Co Cyan Racing.
Catatan masa yang dibuat dengan kereta berkuasa 528 hp tersebut ialah 7 minit dan 20,143 saat dengan kelajuan purata 170.4 km/j.
Rekod masa tersebut menjadikan model konsep Cyan Lynk & Co 03 sebagai kereta empat pintu terpantas dan kereta pacuan pacuan depan (FWD) terpantas di Nürburgring dengan jarak 21 kilometer.
Ini juga kali pertama pengeluar China mencatatkan rekod terpantas di litar ikonik di Jerman itu dengan sebuah kereta pengeluaran massa.
Masa yang dicatatkan adalah tiga saat lebih pantas daripada rekod kereta empat pintu sebelum ini yang dipegang Jaguar dan 25 saat lebih pantas berbanding Renault yang mencatat rekod pusingan terpantas untuk kereta pacuan depan.
Renault sebelum itu berjaya memecahkan rekod yang dipegang oleh Honda.
Masa 7:20.143 yang dicatatkan oleh Thed Björk menggunakan keseluruhan 20,832 km jarak litar iaitu standard rasmi Nürburgring dan bukan berdasarkan jarak 20,600 km yang digunakan oleh pengeluar lain.
Jika mengikut jarak yang lebih pendek tersebut, masa yang diambil Lynk & Co 03 Cyan Concept ialah 7:15.123.
Model Lynk & Co 03 Cyan Concept ini dibangunkan oleh jurutera dan pemandu Cyan Racing yang merupakan rakan sukan permotoran rasmi Geely Motorsport.
Model konsep ini adalah versi jalanan kereta lumba yang digunakan di dalam WTCR. Di belakang projek ini kebanyakannya adalah individu yang sama menghasilkan kereta konsep Cyan Racing seperti Volvo C30 Concept berkuasa 450 hp dan Volvo S60 Concept berkuasa 508 hp.
Menurut Ketua Penyelidikan dan Pembangunan Cyan Racing, Henrik Fries, Lynk & Co 03 Cyan Concept adalah platform pembangunan untuk komponen dan kereta berprestasi Lynk & Co pada masa depan.
Program pembangunan Lynk & Co 03 Cyan Concept akan diteruskan lagi pada tahun ini dengan ujian musim luruh di Sweden dalam menghasilkan sebuah kereta berprestasi untuk pelbagai jenis musim, jalan dan keadaan.
Cyan Racing bukan nama asing di Nürburgring, pada 2017 Volvo S60 Cyan TC1 memegang masa terpantas 8:34.813 di litar tersebut termasuk litar GP dan tahun sebelum itu memegang rekod kereta empat pintu massa melalui model Volvo S60 Concept dengan masa 7:51.110 di litar berjarak 20,832 km.
Berikut ialah spesifikasi teknikal Lynk & Co 03 Cyan Concept: –
Enjin
4-silinder 1969cc turbo
Kuasa
528hp @ 7800 rpm
504Nm @ 4500-7000 rpm
Maksimum 8000 rpm
Transmisi
Pacuan roda depan
6-kelajuan dengan paddle shifts
Prestasi
0-100 km/j – 4.4 saa
0-200 km/j – 10 saat
100-0 km/j – 30 meter
Kelajuan maksimum – 310 km/j
Roda
20″ forged Cyan
Michelin Pilot Sport Cup 2 285/30R20 depan dan belakang
Suspensi
Öhlins boleh laras
Brek
6-omboh dengan cakera depan 378 mm
2-omboh dengan cakera belakang 290 mm
BACA: IKLANPILIHAN: VOLVO 262C BERTONE COUPE!!!!!
BACA: VOLVO 1800ES – WAGON SPORTY ERA ROLLING STONES
BACA: PANDU UJI: VOLVO XC40, SUV RASMI UNTUK THOR DAN ASGARD