Buletin

VOLVO XC40 RECHARGE – EV PERTAMA VOLVO, JARAK 400KM

Di dalam barisan produk kumpulan automotif Geely, sudah ada model elektrik seperti Emgrand EV malah kumpulan itu mempunyai jenama EV khusus yang dikenali sebagai Geometry.

Misi kenderaan elektrik kini disertai oleh Volvo Cars melalui model XC40 Recharge yang baru sahaja didedahkan kepada umum. Ia adalah model elektrik sepenuhnya (100 peratus) yang pertama dari Volvo dan pemula kepada siri Recharge.

Dalam tempoh lima tahun akan datang, Volvo mahu melancarkan kereta elektrik 100 peratus setiap tahun. Volvo turut mensasarkan menjelang 2025, 50 peratus jualan global adalah model elektrik penuh dengan baki model hibrid. 

Recharge adalah siri khusus untuk kesemua model elektrik dan plug-in hybrid keluaran Volvo. Jenama Sweden ini agresif dalam memasarkan EV, bermula awal 2020, pelanggan yang memasuki laman web Volvo akan ditanya sama ada mereka mahukan kereta Volvo Recharge atau tidak.

Bagi menggalakkan pemanduan elektrik, setiap model plug-in hybrid Volvo Recharge akan didatangkan dengan elektrik percuma selama setahun. Ia dibekalkan melalui pemulangan kos purata elektrik dalam tempoh tersebut.

Volvo XC40 Recharge adalah produk canggih dengan jarak pemanduan lebih 400 km untuk sekali cas penuh. SUV ini dipacu oleh nadi kuasa elektrik kesemua roda dengan output kuasa 408hp.

Bateri pula mempunyai kapasiti pengecasan sehingga 80 peratus dalam tempoh 40 minit menggunakan sistem pengecasan pantas. 

Selain nadi kuasa canggih, infohibur SUV ini menggunakan sistem Android yang diintegrasi sepenuhnya dengan Volvo On Call. Melalui sistem itu, pemiliki kereta boleh mengesan jumlah masa pemanduan yang menggunakan kuasa elektrik.

Bagi memenuhi jangkaan peningkatan permintaan terhadap siri Recharge, Volvo akan menambah kapasiti produki kereta elektrifikasi sebanyak tiga kali ganda pada tahun depan.

Setiap model Volvo mempunyai siri Recharge termasuk siri 60 dan XC90. Volvo adalah satu-satunya pengeluar kereta yang menawarkan varian plug-in untuk setiap modelnya.

Volvo XC40 Recharge akan dijual bermula lewat tahun depan dan setakat ini tiada harga indikatif yang diumumkan.

BACA: LYNK & CO 03 CATAT REKOD DI NÜRBURGRING (HELLO MEGANE DAN TYPE R)

BACA: PROTON X50 – 5 PERKARA YANG KAMI TAHU SETAKAT INI

BACA: PROTON SAGA 2019 – 5 PERKARA YANG KAMI SUKA PADA SEDAN INI

Tags
Google ads
Back to top button