SUV PACU KEJAYAAN VOLVO, GILANG-GEMILANG DALAM 93 TAHUN
Kenderaan utiliti sukan atau SUV adalah satu segmen yang popular. Pencetus kejayaan Proton misalnya adalah dari X70 yang berjaya melonjakkan jualan keseluruhan melebihi 100,000 unit tahun ini.
Fenomena tersebut sebenarnya turut dialami Volvo Cars terlebih dahulu yang berjaya memukau pasaran dengan XC90.
Selepas beberapa tahun, fenomena tersebut tidak surut dan sentiasa membantu Volvo mencatatkan rekod baharu.
Terbaru Volvo Cars mengumumkan pencapaian 2019 dengan rekod baharu untuk tahun keenam berturut-turut.
Pada 2019 Volvo Cars berjaya menjual lebih 700,000 unit kenderaan dan ia pertama kali dicapai dalam sejarah 93 tahun.
Volvo Cars ditubuhkan di Sweden pada tahun 1927 dan sejak 2010 berada di bawah pemilikan Zhejiang Geely Holding.
Jualan syarikat pada 2019 ialah sebanyak 705,452 unit kenderaan, peningkatan sebanyak 9.8 peratus daripada 642,253 unit pada 2018.
Jualan tertinggi 2019 dicapai pada bulan Disember dengan jualan sebanyak 74,239 unit.
Pencapaian Volvo Cars pada 2019 didorong oleh jualan tiga model SUV popular. XC60 paling laris dengan jualan sebanyak 204,965 unit, XC40 139,847 unit dan XC90 100,729 unit.
Angka tersebut lebih tinggi berbanding 2018 dengan masing-masing mencatat jualan sebanyak 187,339, 139,847 dan 94,182 unit.
Volvo Cars juga menerima permintaan tinggi untuk kenderaan elektrifikasi dengan jualan model plug-in hybrid sebanyak 45,933 unit, peningkatan sebanyak 22.9 peratus berbanding 2018.
Berdasarkan pasaran, Volvo Cars mencatatkan jualan sebanyak 154,961 unit di China dengan peningkatan 18.7 peratus pada 2018.
Di Amerika Syarikat, jualan meningkat sebanyak 10.1 peratus berbanding 2018 kepada 108,234 unit. Ini kali pertama jualan melepasi angka 100,000 unit sejak 2007.
Di Eropah, Jerman mencatatkan permintaan tinggi dengan jualan melebihi 50,000 unit buat kali pertama. Volvo Cars turut memperolehi jualan terbaik di United Kingdom sejak 1990.
Jualan di Eropah ialah sebanyak 340,605 unit berbanding 317,838 unit pada 2018.
Untuk tahun 2020, Volvo Cars akan mula menawarkan siri Recharge di serata dunia. Recharge adalah nama khusus untuk model elektrifikasi seperti elektrik dan plug-in hybrid.
Volvo Cars mensasarkan untuk model plug-in hybrid mewakili 20 peratus jualan pada 2020.
Volvo Cars adalah satu-satunya pengeluar yang mempunyai varian plug-in dalam kesemua model yang ditawarkan kepada pengguna. Dalam masa terdekat, pengguna akan ditawarkan dengan XC40 Recharge P8, model elektrik sepenuhnya pertama dari Volvo Cars.