Buletin

PERANTI PEMBACA TOL BINAAN DALAM LOKATAG DILANCARKAN, RM499 SEUNIT

LOKATECH Engineering Sdn Bhd (LOKATECH) dengan kerjasama  EFKON, penyedia teknologi dari Austria bagi sistem kutipan tol elektronik inframerah di seluruh Malaysia, telah melancarkan pembaca tol binaan dalam yang pertama untuk segmen selepas pasaran.

Dijual pada harga RM499 seunit, peranti LokaTAG menawarkan alternatif kepada penggunaan MaxTAG mudah alih yang dilancarkan pada Oktober 2018.

LokaTAG direka supaya dapat disepadukan dengan kenderaan yang boleh disambungkan terus kepada bateri kenderaan.

Sesuai untuk semua jenis kenderaan, ia menampilkan paparan dengan pencahayaan belakang tahan lama yang memaparkan amaran ralat dan baki kredit.

Menerusi usahasama dengan Shopee Malaysia (www.shopee.com.my), setiap pembelian LokaTAG dari gedung rasmi dalam talian LokaTAG, para pembeli di Lembah Klang, Pulau Pinang dan Johor akan dapat menikmati pemasangan percuma di lokasi mereka. Di samping pelan bayaran mudah 0% hanya dengan tambahan RM1.

Pelanggan di luar kawasan tersebut pula boleh memasang LokaTAG mereka secara percuma dengan pengedar berdaftar yang terpilih.

Menurut Pengarah EFKON Asia, Helmuth Blasch, jualan MaxTAG yang cukup memberangsangkan sejak diperkenalkan pada tahun lalu dan pesanan yang kian meningkat bagi peranti pembaca tol binaan dalam oleh pengeluar kereta menunjukkan bahawa sistem inframerah tetap menjadi pilihan pengguna lebuh raya.

Ini kerana ia telah terbukti dari segi kebolehpercayaan dan kecekapannya.

“Sambutan pasaran terhadap peranti MaxTAG mudah alih cukup menggalakkan di mana purata jualan bulanan mencecah 12,000 unit.

‘Bagi peranti pembaca tol binaan dalam pula, kini terdapat lima jenama kereta terkemuka yang menggunakan produk kami yang dibina khas untuk mereka.

“Beberapa jenama lain akan turut serta tidak lama lagi.  Kini, purata jualan kedua-dua jenis peranti mudah alih dan binaan dalam ialah 25,000 unit sebulan,” katanya.

Pengurus Besar LOKATECH, Ng Shyh Kang yakin dengan potensi dalam segmen selepas pasaran yang masih belum diterokai.

“LokaTAG merupakan peranti pembaca tol binaan dalam bagi segmen selepas pasaran yang pertama dan diiktiraf.

“Kami percaya bahawa ramai pemilik kereta yang akan menghargai ketenangan fikiran dan perjalanan lancar. Untuk peringkat permulaan, kami mensasarkan jualan sebanyak 1,000 unit sebulan,” kata Ng.

EFKON sentiasa membuat pelaburan dalam bidang penyelidikan dan pembangunan untuk mempertingkatkan ciri-ciri peranti pembaca tol elektronik inframerah.

Ini termasuklah melengkapkan peranti dengan ketersambungan Bluetooth dan keupayaan amaran suara pada masa akan datang.

Ketersambungan Bluetooth membolehkan pengguna berinteraksi dengan peranti pembaca tol menerusi telefon pintar dan sistem media kenderaan.

“Kami menjangkakan sistem kutipan tol elektronik inframerah akan terus memainkan peranan penting di negara ini.

“Sistem ini terbukti sebagai sistem kutipan tol tanpa tunai yang paling boleh diharap, cekap, mudah dan efektif dari segi kos dalam membantu melancarkan aliran lalu lintas berbilang lorong di lebuh raya di Malaysia,” kata Blasch.

Dihasilkan pada tahun 1997 dan ditawarkan untuk kegunaan di seluruh negara sekitar tahun 2005, sistem kutipan tol inframerah di lebuh raya Malaysia dikenali sebagai SmartTAG. Untuk maklumat lanjut mengenai LokaTAG, sila layari www.lokatag.com

Tags
Google ads
Back to top button