Buletin

SDAC TERIMA DUA ANUGERAH PRESIDEN 2021 DARIPADA FORD DIRECT MARKETS

Pengedar tunggal jenama Ford di Malaysia, Sime Darby Auto ConneXion (SDAC) hari ini mengumumkan penerimaaan dua Anugerah Presiden daripada Ford Direct Markets berikutan kecemerlangan syarikat tersebut dalam memastikan kepuasan pelanggan untuk jualan dan servis sepanjang tahun 2021.

Anugerah berprestij itu merupakan pengiktirafan terhadap pencapaian SDAC sebagai salah satu organisasi pengedar jenama Ford terbaik di dunia.

Anugerah Presiden merupakan kecemerlangan terunggul dalam program Ganjaran dan Pengiktirafan tahunan Ford. Ia diadakan untuk mengiktiraf rakan niaga pengedar yang menyediakan pengalaman pelanggan dan operasi yang terbaik.

SDAC menerima dua Anugerah Presiden 2021 untuk kategori Jualan dan Servis berikutan skor tertinggi yang diperolehi bagi kedua-dua kategori, bersaing dengan pengedar-pengedar lain di rantau ini. Skor tersebut berdasarkan kepada maklum balas yang dikumpul daripada pelanggan dan tinjauan yang dijalankan oleh Ford di setiap pasaran, termasuklah Malaysia.

“Walaupun berdepan dengan berbagai cabaran, namun tahun 2021 merupakan tahun yang cukup berjaya untuk SDAC. Dedikasi, kecekalan dan kegigihan mereka telah menghasilkan berbagai pencapaian besar.

“Di antaranya adalah kejayaan Ford Ranger Getaways, contoh terbaik untuk sebuah program menyeluruh yang direka untuk menyediakan pelanggan terhadap pengalaman yang padat dan mendalam melangkaui sekadar jualan dan servis,” kata Pengarah Urusan, Sime Darby Auto ConneXion-Ford, Turse Zuhair.

Ford Ranger Getaways merupakan platform cabaran melibatkan komuniti yang menyatukan para pelanggan yang berkongsi minat sama untuk menikmati pengalaman dan cabaran unik pemanduan dalam negara.

Pelanggan boleh memilih berbagai bentuk getaway. Ini termasuklah kursus off-road untuk menguji kemampuan sebenar jentera, menjadi juruterbang untuk sehari, menikmati alam semulajadi atau sekadar bersantai bersama keluarga.

Diperkenalkan di peringkat serantau pada 2016, program anugerah tahunan itu menilai pengedar terutamanya dari segi tahap tertinggi mereka dalam memberikan kepuasan pelanggan secara keseluruhan:

  • Tahap tertinggi kepuasan pelanggan jualan
  • Tahap tertinggi kepuasan pelanggan servis
  • Prestasi jualan terbaik
  • Prestasi alat ganti terbaik 

Direct Market Ford terdiri daripada Direct Markets Timur Tengah, Afrika Utara, Sub-Sahara Afrika dan Asia Pasifik – Para pengedar di wilayah ini telah mempamerkan komitmen dan sumbangan yang cemerlang terhadap perniagaan Ford, dan bersama-sama membina produk dan servis yang diinginkan, dan melayan para pelanggan seperti keluarga.

Maklumat lanjut tentang SDAC dan Ford, ikuti Facebook, Instagram, Twitter dan saluran YouTube Ford Malaysia atau layari www.sdacford.com.my.

Google ads
Back to top button