
SEMBURAN KESELAMATAN UNTUK PENUNGGANG BASIKAL
Volvo Car UK telah memperkenalkan semula semburan reflektif popular keluarannya, LifePaint.
Dicipta untuk meningkatkan keselamatan tahap pandangan ke atas penunggang basikal, LifePaint kini sudah boleh dibeli secara dalam talian pada harga £13 (RM72) setin.
LifePaint merupakan satu produk yang cukup inovatif dan memberi maklum balas kepada lampu kenderaan. Setiap tahun, lebih 19,000 penunggang basikal mengalami kecederaan di atas jalan raya.
Pada waktu siang, semburan itu tidak dapat dilihat. Tetapi pada waktu malam, ia akan memantulkan cahaya ke arah sumber lampu. Nyalaan cerah dapat dilihat pada objek yang telah disembur.
Semburan itu boleh melekat pada tekstil kering serta paling efektif ayas material bergentian seperti kain kapas, bulu biri-biri, linen dan beberapa jenis nilon. Ia juga boleh disembur ke atas kasut, topi keledar, kereta sorong, beg sandang kanak-kanak serta kolar leher anjing.
Volvo bekerjasama dengan pembuat LifePaint, Albedo100, sebuah syarikat start-up dari Sweden untuk mengedar produk itu secara dalam talian dan rangkaian pengedarnya.
Volvo sememangnya pengeluar yang terkenal dengan aspek keselamatan pada semua kenderaannya. Sebagai contoh, model siri 90 dilenglapi sistem City Safety yang mampu mengesan pejalan kaki, penunggang basikal dan binatang besar di atas jalan raya. Sistem itu kemudian boleh menekan brek secara automatik untuk mengelak kemalangan.










