Buletin

SEMUA PENUMPANG KTM ETS NO. 7173 DIMINTA BUAT SARINGAN COVID-19

Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB) meminta semua penumpang tren elektrik (ETS) No. 9173 membuat saringan kesihatan di hospital berdekatan jika terdapat gejala berkaitan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Ir. Kamarulzaman Zainal berkata, ini kerana pada 7 Mac lalu, salah seorang mangsa wabak telah menaiki tren tersebut dari Stesen Butterworth ke Stesen Kuala Lumpur Sentral.

Warganegara Malaysia berusia 70 tahun itu merupakan mangsa ke-11 dan telah meninggal dunia di Hospital Canselor Tuanku Muhriz, Kuala Lumpur.

Kamarulzaman menyatakan pihaknya telah menghentikan operasi perkhidmatan tren terbabit dan kerja-kerja disinfeksi dilakukan. Sebagai langkah tambahan, semua tren ETS juga telah menjalani proses disinfeksi bagi keselamatan para penumpang dan kakitangan.

“Semua petugas syarikat yang berada di dalam tren serta stesen-stesen terlibat telah diarahkan untuk membuat ujian saringan kesihatan,” ujarnya.

KTMB akan terus memantau operasi tren-trennya dan sentiasa melaporkan perkembangan semasa tersebut kepada Kementerian Pengangkutan Malaysia.

Orang ramai disarankan untuk mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman rasmi media sosial di Facebook (KTM Berhad), Twitter (@ktm_berhad) atau portal rasminya di www.ktmb.com.my.

Mereka juga boleh menghubungi talian Pusat Panggilan di 03-22671200 bagi sebarang perkembangan terkini. – MalaysiaGazette

Google ads
Back to top button